Calon Termuda BN Perlis Mahu Majukan Orang Muda

KANGAR: Calon termuda Barisan Nasional (BN) Perlis, Hamizan Hassan, 43, akan berusaha memastikan golongan belia diberikan tempat dan ruang untuk menonjolkan diri khususnya dalam bidang perniagaan.

Beliau yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayang pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) berkata, adalah menjadi tanggungjawab buat beliau untuk membantu golongan belia menceburi bidang keusahawanan.

“Sekiranya terpilih dan diberi kepercayaan saya akan mempertingkatkan sosio ekonomi dalam kalangan orang muda luar bandar. Kumpulan belia yang berminat ini akan dilatih dengan pelbagai ilmu perniagaan.

“Mereka ini kita akan kumpulkan bersama peniaga lain di Kayang di satu kawasan perniagaan yang akan dibangunkan bagi menjadi satu tarikan baharu di DUN Kayang,” katanya ketika Majlis Beramah Mesra bersama Media Perlis di sebuah restoran, di sini, semalam.

Ditanya mengenai peluang beliau pada PRU kali ini, Hamizan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar mengakui berdepan cabaran dari calon parti lawan, namun beliau optimis akan memperoleh kemenangan.

“Saya dikenali dalam kalangan belia, ,walaupun anak tempatan dan dilahirkan di Kampung Sri Medan ia bukanlah tiket untuk saya selesa. Saya perlu berkerja keras bagi memastikan sokongan padu untuk BN.

“Saya bertuah kerana penyandang sebelum ini, Ahmad Bakri Ali bersama serta membantu saya dalam berkempen,” katanya.

Mengulas pencalonannya sebagai calon paling muda yang diketengahkan BN Perlis, Hamizan mengakui terharu kerana akhirnya suara orang muda yang mewakili parti itu mula diiktiraf di negeri ini dengan diberi peluang bertanding dalam pilihan raya.

“Kalau kita tengok sejarah pilihan raya di negeri ini, wakil dalam kalangan pimpinan Pemuda BN di negeri tidak pernah diberi peluang menjadi calon. Alhamdulillah, akhirnya pada PRU-14 wakil Pemuda diberi peluang,” katanya.

Pada PRU kali ini, Hamizan akan berhadapan dengan seorang lagi calon muda, Abdul Hannaan Khairy, 24 dari PKR dan pesara, Md Radzi Hassan dari PAS. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.