Cuti Khas Untuk Guru Bertugas PRU-14

KAMPUNG GAJAH: Tiada cuti persekolahan khas susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) melainkan 9 Mei, namun guru yang terbabit boleh memohon pelepasan tambahan menerusi Cuti Rehat Khas.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan sudah meluluskan tambahan cuti khas itu kepada 10 hari berbanding tujuh sebelum ini, awal tahun ini.

“Dari segi peraturannya, tak ada (cuti selepas PRU), tapi apa-apa permintaan daripada individu (guru) untuk kes tertentu boleh mohon kepada pihak sekolah menerusi kuota Cuti Rehat Khas itu.

“Guru yang terbabit boleh memohon untuk berehat selepas bertugas disebabkan PRU, kira undi sampai ke malam.. dia boleh minta pada guru besar, pengetua dia.

“Kalau minta secara pakej, sekolah cuti.. itu tiada (dalam peraturan),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bicara Profesional ‘Survival Ummah’ Kecemerlangan Pendidikan Tanggungjawab Bersama di Dewan Besar Felcra di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Salak.

Sebelum ini terdapat permintaan daripada kesatuan guru memohon cuti tambahan selepas PRU-14 bagi membolehkan guru menjadi petugas SPR berehat serta sekolah yang menjadi pusat penamaan dan mengundi, dibersihkan.

Dalam pada itu, ketika berucap di hadapan 1,500 pengetua, guru besar dan guru, Mahdzir sempat menitipkan pesanan supaya warga pendidik itu menghargai apa yang sudah dilakukan kerajaan.

Beliau berkata, penting buat golongan itu mempersiapkan diri dan mengubah mentaliti daripada konvensional kepada berteras digital selaras dasar kerajaan yang dirangka untuk masa depan.

Selain itu, beliau berkata, 34 guru gred DG32 hingga DG52 menjadi calon dalam PRU-14 dengan 15 bertanding atas tiket BN, manakala bakinya PAS, Parti Amanah Rakyat (PAN), PKR dan bebas.

Katanya, tujuh daripada guru berkenaan meletak jawatan dengan notis 24 jam dan tidak layak menerima pencen.

“Mereka masih dalam perkhidmatan dan berhenti untuk menjadi calon PRU, namun tujuh berhenti 24 jam dan pemprosesan peletakan jawatan itu tidak melayakkannya berhenti dengan pencen selain isu lain berkait gred,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.