Felda, Rancangan Kerajaan Beri Limpahan Manfaat Kepada Peneroka

PADANG BESAR – “Kak bersyukur sangat buat keputusan menyertai rancangan Felda semasa ditawarkan oleh kerajaan dahulu. Kalau tidak, anak-anak kak mungkin tidak sekolah kerana kami susah sangat pada masa i tu,” ujar Che Wa Hat, 69.

Beliau berkata mereka suami isteri nekad menyahut seruan kerajaan untuk menyertai rancangan Felda Mata Ayer di sini pada 1985 dan bersyukur apabila kehidupan keluarga berubah 100 peratus dalam beberapa tahun selepas itu.

“Rezeki memang Allah yang tentukan tetapi kalau kak dan suami tidak datang dan duduk sini, dan rancangan (Felda) ini pula tidak dilaksanakan oleh kerajaan, mungkin kehidupan kami sukar untuk berubah,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di tanah rancangan itu di sini, hari ini.

Pendapatan arwah suaminya, Nanyan Saad yang meninggal dunia sejak hampir tiga tahun lepas, sebagai buruh di Kuala Perlis pada 1985 ketika itu hanya cukup untuk belanja makan sehari-hari dengan lima orang anak yang masih kecil.

“Sementara menanti getah mengeluarkan hasil, kami diberi elaun sara hidup RM200 sebulan. Saya dan suami menanam sayur dan yang lebih kami jual bagi menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata hasil getah kemudiannya merubah kehidupan keluarga sehingga mampu menggantikan rumah kayu dengan rumah banglo setingkat, dan kini anaknya membina rumah bersebelahan rumahnya apabila Feldamemberi kebenaran sejak tahun lepas.

“Seorang anak saya berjaya melanjutkan pengajian ke universiti dan memiliki Sarjana dalam bidang pendidikan, manakala tiga lagi memperolehi Diploma, dan seorang lagi menjadi kontraktor, semuanya kerana berkat usaha serta bantuan kerajaan, melalui Felda.

“Saya juga bersyukur tanah ini telah menjadi hak milik kami setelah kerajaan menyerahkan surat hak milik pada Oktober tahun lepas. Kalau nak beli setengah ekar pun tidak mampu. Sebab itu kami peneroka di sini amat berterima kasih kepada kerajaan sekarang,” katanya.

Che Wa berkata Felda kini membenarkan peserta menaman pokok buah-buahan dan sayur-sayuran di tanah kosong dalam rancangan tersebut sehingga Felda Mata Ayer menjadi antara pengeluar terbesar mempelam harumanis di Perlis.

Ketua Peneroka Felda Mata Ayer, Omar Bakar, 63, berkata Felda juga menyediakan kemudahan untuk peneroka meningkatkan ekonomi antaranya menubuhkan Koperasi Felda Mata Ayer yang diberikan projek berkaitan pertanian, membina jalan dan pembekalan produk pembinaan dan keperluan harian.

Beliau berkata koperasi tersebut pernah mendapat projek daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bernilai RM5 juta dan kini memiliki aset antaranya pengorek-kaut, lori, van dan jentera pengorek, katanya.

Omar, berasal dari Simpang Empat, Arau, mencari rezeki sebagai petani sebelum menyertai skim itu pada 1985 berkata tanah rancangan Felda itu dibuka pada 1983 kini mempunyai 249 peserta.

Beliau berkata kini keseluruhan pokok getah di kawasan penempatan itu ditebang kerana tua sebelum ditanam semula dan bagi menunggu hasil getah, para peserta diberi elaun RM1,300 sebulan.

“Kerajaan mana yang boleh buat macam ini. Saya sangat bersyukur kita mempunyai kerajaan yang menguruskan negara dengan baik,” katannya, dan menambah, banyak kerja boleh dilakukan oleh anak-anak peneroka sebagai mata pencarian walaupun sebahagiannya perlu mencari rezeki di luar.

Selain itu, sebanyak 22 orang peserta Felda Mata Ayer menyertai program Inap Desa yang mendapat kelulusan Kementerian Pelancongan, “katanya.

Mengenai keselamatan, beliau berkata pengurusan Felda bersama-sama peneroka sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras sebarang aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah dan ketum membabitkan anak-anak mereka serta jenayah penyeludupan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.