Kerajaan Mampu Sediakan Pembangunan Kerana Negara Tidak Gagal, Bankrap

KUALA SELANGOR – Keupayaan Kerajaan Persekutuan menyediakan banyak pembangunan untuk rakyat adalah bukti negara tidak gagal atau bankrap, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata keupayaan itu juga dikuatkan dengan laporan terkini Forum Ekonomi Dunia yang meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-23 negara paling kompetitif di dunia.

“Inilah istimewanya Malaysia, kalau Malaysia negara gagal ataupun bankrap seperti didakwa pembangkang, tentu sekali kita tak mungkin berupaya (sediakan pembangunan), jangan cakap nak buat hospital, jangan cakap buat klinik kesihatan, nak baik pulih padang permainan pun tidak mampu.”

“Sebagai sebuah kerajaan inilah tanggungjawab kita,” katanya dalam ucapan semasa melakukan lawatan kerja ke Parlimen Kuala Selangor di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam (2) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar, calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Zahar Azlan Arifin dan calon BN bagi DUN Ijok, K. Parthiban.

Berucap di hadapan kira-kira 500 warga pendidik di sekitar Parlimen Kuala Selangor, perdana menteri berkata setiap tahun sebagai ketua kerajaan, beliau akan membentangkan kad laporan prestasi berhubung segala inisiatif dan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kepada rakyat. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.