Murid Tahfiz Dibelasah, Kurung Di Bilik Air

KUALA LUMPUR: Empat pelajar senior sebuah pusat tahfiz di Shah Alam, ditahan polis semalam, selepas dipercayai membelasah seorang murid yang dikatakan mencuri barangan mereka.

Keempat-empat pelajar pusat tahfiz di Seksyen 7 berusia antara 14 hingga 17 tahun itu, didakwa memukul, menumbuk dan mencampak mangsa berusia 11 tahun ke lantai dalam sebuah bilik asrama sebagai hukuman, awal pagi kelmarin.

Pelajar senior terbabit dikatakan turut memaksa mangsa tidur di bilik air yang dikunci dari luar sebelum dibuka menjelang waktu Subuh.

Mangsa mengadu mengenai kejadian berkenaan kepada ibunya sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai banyak kesan lebam dan kecederaan dalaman.

Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan polis sebelum empat pelajar senior terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

Semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat. – Foto Surianie Mohd Hanif

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan masih dijalankan.

“Empat pelajar senior itu dibebaskan malam tadi selepas diambil keterangan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.