Najib Temui Penduduk Kuala Selangor

KUALA SELANGOR: Datuk Seri Najib Razak memulakan lawatan kerja di daerah ini, hari ini dengan bersarapan bersama masyarakat setempat di Restoran Mamak Signature, Puncak Alam, di sini.

Perdana Menteri tiba jam 8.50 pagi dengan diiringi Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Noh Omar

Turut hadir, calon BN kerusi Parlimen Kuala Selangor yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim; calon DUN Jeram, Zahar Azlan Arifin; calon DUN Ijok, K Parthiban dan calon DUN Bukit Melawati, Jakiran Jacomah.

Najib yang turut menjamu putu mayam dan kari meluangkan masa selama 30 minit beramah mesra bersama rakyat di restoran itu.

Beliau kemudian turut melawat Klinik Desa Bandar Puncak Alam (klinik Ibu dan Anak) yang terletak di deretan premis kediaman berdekatan.

Sementara itu, bagi peniaga air kelapa, Mahir Abdullah, 48, dia bersama isteri dan anak bongsunya berusia tiga tahun terharu berpeluang duduk makan semeja dengan pemimpin nombor satu negara.

“Kami tiga beranak memang kerap bersarapan di restoran ini sebelum memulakan perniagaan namun kenangan kali ini amat bermakna kerana dapat bersama PM,” katanya yang menetap di Fasa 3 Puncak Alam.

Keterujaan itu turut dikongsi penduduk yang juga pesakit autisme, Mohamad Husni Mohamad Mazlan, 36, yang sanggup hadir awal untuk menemui Najib.

“Saya berbangga kerana beliau bukan saja berjiwa rakyat, malah sentiasa membantu semua golongan memerlukan termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak sekian lama,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.