Rita Dedah Majlis Pernikahan Rahsia Dalam biografi

KUALA LUMPUR: Hampir sedekad menyimpan rahsia majlis pernikahannya dengan pemain bola sepak, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak di Thailand pada 2008, pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 42, mendedahkan perkara itu dalam biografi, Kerana Aku Seorang Perempuan.

Dalam buku yang dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi, Rita berkata, mereka diijabkabulkan di sebuah gudang beras di negara itu, selain turut berkongsi foto perkahwinannya.

Katanya lagi, walaupun majlis pernikahan mereka berlangsung dalam serba kekurangan, dia dapat merasai kebahagiaan sebenar apabila bertemu jodoh dengan insan yang dicintai.

“Ketika bapa meminta senarai nama imam di sana, kami memilih jurunikah yang di bawah rumahnya ada gudang beras. Mahu bernikah di masjid, bimbang orang kenal, jadi di situ paling selamat.

“Walaupun serba kekurangan, saya berasa sangat bahagia. Disebabkan takut gambar perkahwinan kami tersebar, saya simpan dalam cakera padat. Baru sekarang saya sedia berkongsi gambar perkahwinan kami dengan semua,” katanya.

Rita dan Aidil, bagaimanapun bercerai talak satu pada 5 September 2013 di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan. Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, yang berada di bawah jagaan Rita.

Bercerita mengenai Kerana Aku Seorang Perempuan yang ditulis Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, Rita menyifatkan, wanita yang disapanya sebagai Along itu antara sahabat media yang rapat dan tahu segala perjalanan hidupnya.

“Sebak rasanya apabila melihat penerbitan buku ini akhirnya direalisasikan selepas lima tahun ditulis. Saya ibaratkan buku ini seperti permata kerana saya melalui susah dan senang sendirian apabila berjauhan dengan keluarga.

“Along adalah antara teman rapat yang tahu mengenai hidup saya. Daripada zaman belum berkahwin, bercinta, berumah tangga dan ketika perkahwinan dilanda masalah, semua itu dalam pengetahuannya.

“Menerusi buku ini, saya berharap wanita di luar sana yang berdepan masalah yang sama seperti pernah saya lalui mendapat semangat baharu untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Tambah Rita, dia juga berharap tiada pihak memberi tanggapan buruk kononnya mahu meraih simpati menerusi penerbitan buku itu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.