Rumahku, Syurgaku Di Tanah Felda

BENTONG – ‘Rumahku, syurgaku!’, gambaran tepat oleh Firdaus Roshidin Mohd Mohidin, 39, terhadap kediaman yang dihuninya.

Peneroka generasi kedua Felda itu sangat bangga dengan kediamannya di Felda Mempaga 1 di sini, penempatan kedua Felda yang dibuka di negara ini selepas di Lurah Bilut.

Beliau berbesar hati kerana dapat membeli rumah yang dibina di bawah program ‘Perumahan Warga Felda’ yang dimulakan oleh kerajaan untuk memenuhi keperluan perumahan yang semakin meningkat bagi generasi kedua di tanah rancangan Persekutuan itu.

Pada 2004, beliau berpindah ke rumah itu dan berjiran pula dengan bapanya.

Perumahan bukan satu masalah dalam skim Felda sejak penempatan pertama diwujudkan di Lurah Bilut pada 1958 sehinggalah agensi itu berhenti daripada mengambil peneroka pada 1990.

Bagaimanapun, masalah timbul hanya selepas keluarga peneroka yang asal mula berkembang dan anak-anak pula mempunyai keluarga sendiri. Ketika inilah kerajaan campur tangan menerusi inisiatif perumahannya.

Tambah bila kita sudah kahwin, sudah berkeluarga, adik-beradik pula ramai, takkan masih nak duduk di rumah mak ayah,” kata anak sulung daripada tujuh beradik itu kepada Bernama ketika ditemui di Felda Mempaga 1 di sini.

Firdaus Roshidin, bekerja sebagai Penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai bersyukur dan menghargai perhatian berterusan kerajaan kepada masyarakat Felda, malah memuji komitmen pihak berkenaan untuk membina lebih banyak rumah, bukan hanya bagi generasi kedua malah generasi ketiga.

Beliau kini menetap bersama-sama isteri dan anak-anak di rumah teres tiga bilik tidur yang selesa di penempatan Felda itu selepas membeli kediaman tersebut pada hanya RM35,000.

Awal bulan lepas, model baharu program perumahan generasi baharu Felda dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan generasi kedua mampu miliki kediaman mereka sendiri.

Menerusi program itu, sebanyak 5,000 rumah tiga bilik tidur dan dua bilik air akan dibina dengan keluasan 1,000 kaki persegi serta dijual pada harga subsidi RM55,000.

Sebagai tambahan, kerajaan meluluskan pembinaan lebih daripada satu unit rumah bagi setiap plot tanah skim Felda, dan dianggarkan lebih 70,000 rumah dijangka dibina.

Seorang lagi generasi kedua, Mohd Saiful Rizal Zainal, 38, mendiami selang dua buah rumah daripada kediaman Firdaus Roshidin dalam skim yang sama sejak 2005, pula melahirkan rasa lega apabila dapat memiliki rumah sendiri di kawasan Felda yang menjadi tempat beliau membesar.

“Kebanyakan warga generasi kedua ini memilih untuk kekal di tanah Felda sebab kos untuk hidup di bandar lebih tinggi, di Felda mereka boleh meneruskan kerja-kerja ladang atau sekarang ini ramai dah jual barangan secara dalam talian,” kata bapa empat anak itu.

Beliau menyifatkan program perumahan baharu itu sebagai khabar gembira buat lebih ramai generasi kedua Felda yang masih belum memiliki rumah sendiri.

Bagaimanapun usahawan itu menyuarakan kebimbangannya bahawa ramai daripada mereka mungkin masih menghadapi kesukaran memiliki rumah sendiri ekoran kekangan kewangan.

“Ini (kewangan) yang jadi masalah kerana majoriti tidak mempunyai pekerjaan dengan penyata gaji yang stabil di sini, jadi urusan permohonan pembiayaan itu sukar,” katanya.

Najib mengumumkan dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 Barisan Nasional, antara lain, kerajaan akan membina lebih banyak rumah dalam rancangan Felda, terutama bagi generasi kedua dan tiga, selain menaik taraf 422 kilometer jalan di semua kawasan tanah rancangan itu.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Mempaga 1, Mohd Mohidin Osman, 61, berkata di bawah program Perumahan Warga Felda, terdapat 190 unit rumah yang kesemuanya telah didiami, manakala bagi program baharu iaitu Rumah Mesra Rakyat Felda, 210 unit lagi akan dijual kepada generasi kedua di penempatan itu.

“Rumah Mesra Rakyat Felda ini merupakan kerjasama kita dengan SPNB (Syarikat Perumahan Negara Bhd), kos asal rumah adalah RM75,000, yang dapat rumah itu nanti akan bayar RM55,000 sahaja, tapak dah ada, dah ukur, cuma pecah tanah (belum) lagi,? katanya.

Beliau berkata terdapat kira-kira 2,000 orang generasi kedua di Felda Mempaga 1.

Mohd Mohidin juga mengakui walaupun banyak usaha dilaksanakan kerajaan untuk memenuhi keperluan perumahan generasi Felda akan datang, unit rumah diperuntukkan dalam kedua-dua program itu masih tidak mencukupi.

Bagaimanapun, beliau yakin lebih banyak usaha telah berada dalam perancangan kerajaan.

“Semasa sambutan Hari Peneroka, kerajaan pun dah umum kelulusan untuk penambahan satu rumah lagi dalam setiap satu lot tanah, selain itu kita di Felda juga telah diarahkan untuk mencari tanah-tanah kosong dalam rancangan kita dan akan diukur balik untuk dibahagikan bagi pembinaan rumah,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.