Suami Tak Sanggup Dengar Safura Dikritik

KUALA LUMPUR: Penyanyi Safura Yaacob, 45, masih menunggu lampu hijau daripada suaminya, Shahrolnizam Nor sebelum menyahut cabaran menyertai mana-mana program realiti.

Katanya, Shahrolnizam yang juga pelakon agak berat hati mahu ‘melepaskannya’ menyertai pertandingan kerana tidak sanggup mendengar kritikan juri.

“Memang pernah ada tawaran, tetapi saya perlu mendapatkan izin suami dahulu. Dia tidak menghalang, cuma mungkin takut saya tidak kental berdepan komen juri.

“Saya faham, apabila menyertai program realiti, kita perlu bersedia menerima sebarang kritikan daripada mereka yang mahir. Sebagai penyanyi yang sudah lama menyepi, program seperti ini menjadi platform untuk muncul semula.

“Apa pun, saya tetap menunggu restu suami. Kalau perlu pujuk, mungkin saya akan lakukan asalkan dia memberi ‘lampu hijau’,” katanya ketika ditemui pada majlis Sepetang Bersama Bonda Ratuku sempena sambutan Hari Ibu, semalam.

Selepas lebih enam tahun tidak menjayakan persembahan seumpama itu, penyanyi Sedalam Mana Cintamu itu gembira dapat bergandingan dengan Fauziah Ahmad Daud dan Liza Hanim untuk kembali menghiburkan penonton.

Lebih bermakna katanya, apabila ibunya, Nariah Mat Taheri, 75, yang bulan lalu menerima rawatan di Unit Penjagaan Kritikal (CCU), Hospital Selayang akibat diabetes dan paru-paru berair dapat bersama menyaksikan persembahannya.

“Dalam keadaan yang masih lemah, emak sanggup menemani saya. Semangat kentalnya menyuntik kekuatan kepada saya supaya jangan cepat putus asa.

“Sudah lama saya tidak menyanyi pada acara besar selepas kehilangan anak akibat demam panas, tujuh tahun lalu. Masa saya banyak diperuntukkan bersama keluarga di rumah.

“Banyak tawaran terpaksa saya tolak kerana tidak kuat. Baru beberapa tahun kebelakangan ini saya aktif semula berlakon, tetapi nyanyian agak perlahan.

“Keluarga terutama emak dan suami banyak memberikan nasihat. Cuma sekarang emak semakin uzur, jadi saya kuatkan semangat untuk teruskan perjuangan ini,” kata ibu kepada enam cahaya mata itu.

Bijak mengatur jadual harian dengan bantuan Shahrolnizam, pelakon drama Ustazah Pencen itu masih rancak menjalankan perniagaan makanan yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.