Tidak Mahu Tipu Peminat – Ariz Forteen

KUALA LUMPUR: Enggan menipu peminat dengan menjadi duta produk yang tidak digunakannya, anggota Forteen, Ariz Lufias, terpaksa menolak tawaran daripada syarikat pengeluar barangan kecantikan.

Sebaliknya, penyanyi terbabit lebih selesa muncul bersama produk sendiri bagi membantu golongan lelaki dan wanita memperbaiki kulit wajah.

Berkulit cerah dan memiliki wajah bebas daripada cela, Ariz mengakui, ramai yang bertanyakan kepadanya rahsia beliau menjaga penampilan.

“Saya mendapat idea untuk menghasilkan produk kesihatan sendiri selepas sering kali diajukan dengan persoalan sama.

“Produk ini diamalkan sendiri oleh saya dan keluarga sejak dulu, namun ia dipermodenkan mengikut kesesuaian pasaran sekarang.

“Saya memang tak mahu menipu orang ramai di luar sana dengan mempromosikan produk yang saya tidak gunakan. Jadi, saya memilih untuk menolak beberapa tawaran diberikan sebelum ini. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menghasilkan produk yang diamalkan oleh saya sendiri,” kata Ariz.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya seninya, Ariz kini rancak mempromosikan single solo berjudul Pergi.

Lagu terbabit bukan sekadar bersifat peribadi kerana ia dicipta sepenuhnya oleh beliau, malah turut mempunyai kaitan dengan kehidupannya.

“Single ini cukup istimewa kerana lirik dan melodinya dihasilkan oleh saya sendiri. Ia berkisar mengenai individu yang sering menerima ugutan untuk berpisah daripada kekasihnya, lantas tekad memilih membawa haluan sendiri.

“Sepatutnya dilancarkan pada tahun lalu, saya turut menyelitkan maksud tersirat menerusi video muzik lagu ini dan berasa amat teruja kerana ramai peminat dapat menerima mesej cuba disampaikan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.