Wang Cabutan Bertuah RM25,000 Sumbangan Penaja

SUNGAI BESAR: Barisan Nasional (BN) Sungai Besar tidak terbabit dalam pemberian cabutan bertuah RM25,000 kepada seorang pengunjung konsert pada malam Isnin lalu.

Ketua BN Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berkata wang berkenaan serta segala hadiah lain yang diberikan pada malam itu adalah sumbangan penaja dan tidak ada kaitan dengan parti BN.

Katanya, antara penaja terbabit adalah daripada golongan peniaga di Sekinchan yang sanggup menaja pelbagai hadiah seperti barangan elektrik, motosikal dan hadiah utama wang tunai RM25,000.

“Ramai penaja yang menyumbang kepada saya untuk penganjuran konsert itu. Pada mulanya mereka hendak berikan RM500 kepada setiap cabutan, tetapi saya yang mahu wang itu dijumlahkan kepada RM25,000 dan diberikan kepada seorang sahaja supaya ia nampak besar.

“Saya tidak melihat ia sebagai satu rasuah kerana ia bukan wang daripada parti. Calon BN yang datang pada malam itu pun tidak tahu menahu mengenai cabutan bertuah dan hadiah itu.

“Mereka datang berucap dan pergi ke program lain,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Parlimen Sungai Besar, di sini, hari ini.

Pemberian cabutan bertuah itu sebelum ini tersebar di media sosial yang mendakwa Jamal menggunakan duit parti untuk konsert berkenaan dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

BN meletakkan penyandang kerusi, Budiman Mohd Zohdi bagi mempertahankan Parlimen Sungai Besar manakala kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang diwakili Datuk Imran Tamrin dan DUN Sekinchan, Lee Yee Yuen.

Mengulas lanjut, Jamal menegaskan perkara itu tidak menjadi kesalahan dan bersedia disoal siasat pihak bertanggungjawab termasuk polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sehingga kini, katanya, 20 laporan polis dibuat pembangkang yang tidak berpuas hati terhadap isu wang cabutan bertuah itu.

“Saya sedia disiasat, dan sebelum perkara ini menjadi kecoh saya sudah merujuk kepada peguam untuk tindakan selanjutnya.

“Butiran mengenai penaja juga saya ada. Jadi, saya rasa tidak ada masalah konsert terbabit dianjurkan dan akan ada lebih banyak konsert diadakan selepas ini berserta cabutan bertuah di kawasan Parlimen Sungai Besar,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.