Warga FELDA Kekal Setia

BENTONG: Sokongan 112,000 masyarakat peneroka di seluruh negara diyakini masih berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad, berkata walaupun pelbagai tohmahan dilempar pembangkang, ia tidak mempengaruhi keyakinan warga peneroka terhadap kemampuan BN.

“Ini berdasarkan apa yang sudah kita lakukan selama ini seperti program muafakat FELDA yang menyaksikan antara 93 hingga 94 peratus peneroka seluruh negara terus menyokong FELDA.

“Semua ini adalah asas sokongan terhadap parti kerajaan hari ini. Jika mereka menyokong FELDA, ia bermakna mereka menyokong kerajaan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, di Dewan Orang Ramai FELDA Chemomoi dekat sini, hari ini.

Shahrir yang juga calon BN Parlimen Johor Bahru berkata, FELDA sudah menyusun geran tanaman semula kepada peneroka dan struktur hutang peneroka hingga mengurangkan hutang mereka sehingga 70 peratus.

“Kalau nak kira, hutang paling besar membabitkan hutang sara hidup peneroka dan ia boleh dikurangkan menerusi perolehan hasil tanaman diusahakan.

“Mengenai isu projek perumahan generasi kedua, ada yang berdepan masalah perundangan antara syarikat diberi tanggung jawab menyiapkan projek, namun gagal disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

“Daripada 8,474 unit diperuntukkan melalui projek perumahan generasi kedua ini, sebanyak 1,734 unit membabitkan 11 projek berdepan masalah.

“Semuanya sudah dikeluarkan (tender baharu) dan FELDA melantik syarikat perunding untuk menyelesaikan masalah ini.

“Ada membabitkan masalah reka bentuk dan kita kena mulakan semula projek berkenaan.

Kita bertuah kerana mendapat kerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam membantu membina lebih banyak rumah kepada generasi kedua FELDA,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.