Aplikasi ‘Hebatkan Negaraku’ Padat Dengan Maklumat

KUALA LUMPUR: Aplikasi berita digital ‘Hebatkan Negaraku’ yang dilancarkan Barisan Nasional (BN) sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menerima maklum balas positif daripada rakyat sejak dilancarkan tiga hari lalu.

Setiausaha Eksekutif Majlis Tertinggi BN, Datuk Seri Abu Khamis, berkata orang ramai yang terdedah kepada aplikasi berkenaan, rata-rata teruja melihat poster berserta rakaman suara yang seakan-akan berinteraksi dengan mereka.

“Selain mendekatkan diri dengan pemimpin, aplikasi ini membawa perutusan dan mesej mengenai hala tuju kerajaan. Maklumat yang disampaikan merangkumi isu ekonomi, keselamatan , kestabilan sosio politik dan mesej sempena pilihan raya. Pendekatan berteraskan teknologi terkini, membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi di antara negara Asia.

“Aplikasi terbabit adalah bertepatan dengan situasi semasa dan segala maklumat boleh didapati di hujung jari malah penggunaan slogan ‘Hidup Rakyat, Hebatkan Negaraku’ membawa maksud rakyat adalah tunjang utama perjuangan.

“Selain boleh mendengar mesej, rakyat juga boleh bergambar bersama Datuk Seri Najib Razak menerusi fungsi hibrid yang ada dalam aplikasi ini,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Abu berkata, aplikasi berkenaan akan diteruskan sehingga tamat pilihan raya.

“Aplikasi ini adalah salah satu inisiatif kempen yang sangat menarik untuk mendekati calon Ahli Parlimen secara lebih interaktif. Saya berharap aplikasi ini dapat membawa imej BN dengan lebih baik, sekali gus dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang kempen berlangsung,” katanya.

Aplikasi ‘Hebatkan Negaraku’ itu kini boleh dimuat turun daripada Google Store bagi pengguna Android dan Apps Store untuk pengguna IOS.

Selepas memuat turun aplikasi berkenaan, pengguna akan diberi pilihan memilih kawasan Parlimen masing-masing dan boleh mendapatkan maklumat berkaitan calon di kawasan terbabit.

Bagi mengaktifkan teknologi ‘augmented reality’ (AR) atau hibrid dalam aplikasi berkenaan, pengguna perlu menghalakan telefon pintar ke arah poster atau papan iklan yang memaparkan mana-mana calon BN dan mereka akan ‘muncul’ dan menyampaikan mesej tersendiri. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.