Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun diakui pada satu ketika ada kelemahan dalam pengurusan pelaburan Felda, namun sejak Felda diambil alih oleh Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad, semua kelemahan itu telah dibetulkan.

Menurut Ahmad Zahid, antara langkah yang telah diambil termasuklah mengstrukturkan semu­la bentuk pelaburan Felda selain mengendalikan keseluruhan hutang Felda Global Ventures Hol­dings Bhd. (FGV).

“Di seluruh negara ada 54 kawasan Parlimen di dalam Felda dan kita akui satu ketika ada kelemahan semasa kepimpinan seseorang ketika itu yang mungkin telah tersasar, tapi sejak Tan Sri Shahrir mengambil alih kita telah betulkan keadaan itu.

“Sekarang ini Felda berada pada landasan yang betul. Kita harap peneroka dan pegurusan Felda akan memberi kepercayaan baharu kepada Shahrir dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada program Kenduri Pusat Daerah Mengundi Zon Jambatan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu di Kampung Banang, Hutan Melintang di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi.

Ahmad Zahid turut berharap peneroka yang terpengaruh de­ngan dakyah pembangkang untuk kembali menyokong BN.

Menurut beliau, ini penting supaya pembangunan Felda yang sedang dinikmati kini dapat terus dirasai dan dinikmati khususnya oleh generasi muda tanah ranca­ngan berkenaan.

Katanya, peneroka tidak harus mengulang kesilapan lalu dengan memilih pembangkang.

“Saya harap semua kawasan parlimen Felda kekal dan mana-mana kawasan yang telah terlepas ke tangan orang lain, kembali kepada kita untuk kita bangunkan sama-sama,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya berjanji tetapi telah melaksanakan pelbagai pembangunan di Felda.

“Ini termasuklah perumahan generasi kedua dan ketiga, perumahan mampu milik selain menambah baik kemudahan infrastruktur seperti paip air. Yang penting berilah kepercayaan semula pada kerajaan BN,” katanya. – UTUSAN ONLINE