K1M Jadi Tumpuan Orang Ramai Dapatkan Rawatan

KUALA LUMPUR – Sejak dilancarkan pada Januari 2010, Klinik 1 Malaysia (K1M) menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan rawatan bagi sakit-sakit ringan seperti demam, batuk, selesema dan penyakit-penyakit ringan yang lain.

Asas utama penubuhan K1M sejak lapan tahun lalu adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan setempat tanpa perlu ke klinik kesihatan atau hospital yang terletak jauh dari tempat tinggal mereka.

Tinjauan Bernama di K1M sekitar Kuala Lumpur mendapati klinik berkenaan sentiasa dikunjungi masyarakat pelbagai kaum untuk mendapatkan rawatan yang disediakan. Rata-rata mereka yang datang berpuas hati dengan khidmat yang ditawarkan dan kebanyakannya sudah faham tentang konsep perawatan awal K1M yang khusus untuk sakit-sakit ringan.

Seorang doktor gigi klinik swasta, Tiung Li Yung, 28, berkata beliau sentiasa mendapatkan rawatan di klinik tersebut dan menyedari bahawa perkhidmatan itu adalah untuk sakit-sakit ringan, dan baginya ia bukan satu isu besar.

“Sudah banyak kali saya datang ke sini. Kemudahan perubatan agak pantas walaupun ia hanya untuk rawatan ringan tapi sangat berguna pada rakyat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di K1M Pudu di sini, hari ini.

Tular di media sosial ketika ini laporan akhbar dalam talian, Free Malaysia Today yang memetik kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertikaikan kemampuan K1M kerana tidak mempunyai doktor.

Pekerja swasta, Rosnita Baharuddin, 41, berkata kewujudan K1M adalah untuk membantu dan memudahkan urusan rakyat dalam mendapat rawatan awal.

“Betul di klinik kesihatan harian bilangan doktor mungkin ramai dan rawatan juga banyak kerana ada ramai pakar khusus, tapi klinik kesihatan tutup 5 petang, sini sampai malam (10 malam). Kalau ingin rawatan pakar memang orang tak akan datang ke sini. Jadi rakyat ada alternatif lain yang lebih murah untuk mendapatkan rawatan yang diiktiraf. Kalau pergi klinik swasta nak dapatkan panadol pun, bayaran dia lagi mahal daripada K1M,” katanya.

Bukan hanya rakyat Malaysia, warganegara asing turut mendapatkan rawatan di K1M, yang walaupun harganya lebih mahal berbanding yang dikenakan kepada warganegara tetapi ia masih murah bagi mereka.

Buruh binaan warga Indonesia, Asmuni, 55 berkata kemudahan yang ada di K1M sangat berbaloi daripada jumlah wang yang perlu dibayar oleh beliau jika ke klinik swasta.

“Untung rakyat Malaysia, dasar yang kerajaan sini gubal bukan memudahkan rakyatnya sahaja tapi kami yang datang mencari rezeki di sini juga, lumayan amat. Di sini (K1M) diberi nasihat perawatan, penjagaan makanan dan tubuh badan. Jika di kawasan saya di daerah Bauyan, Surabaya, bayaran khidmat pergigian agak mahal,” katanya.

Terdapat lebih 300 buah K1M di seluruh negara. Operasinya sentiasa dipantau oleh Jabatan Kesihatan bagi memastikan kemudahan dan bekalan ubat mencukupi. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.