Mimifly Kenali Hati Budi Jurulatih Peribadi

KUALA LUMPUR: Selepas melalui episod kehancuran rumah tangga pada tahun lalu, penyanyi, Mimifly, kini bersedia untuk membuka pintu hatinya bagi mengenali orang baharu.

Mimi yang juga anggota One Nation Emcees (ONE) berkata, ketika ini dia sedang berkawan dengan seorang lelaki yang turut bertindak sebagai jurulatih peribadinya.

Katanya lagi, lelaki itu juga antara individu yang banyak menyuntik semangat untuknya kembali aktif melakukan rutin senaman di gimnasium demi kelangsungan kerjaya seni.

“Hidup saya berubah sepenuhnya selepas berpisah dengan bekas suami pada Disember lalu. Secara fizikal orang nampak saya kuat, tetapi hakikatnya keadaan emosi saya tidak stabil. Ia membuatkan saya gagal menjaga diri.

“Berat badan juga meningkat sebanyak 10 kilogram, sehingga membuatkan saya tertekan dengan komen negatif dilemparkan oleh netizen di laman sosial. Saya juga mempunyai perasaan dan tidak mampu untuk mengabaikan kecaman mengenai bentuk tubuh.

“Ketika saya bersedia untuk membuka hati mengenali orang lain, saya ditemukan dengan seseorang yang secara tidak langsung membakar semangat untuk menurunkan berat badan. Bukan semata-mata ingin kurus, namun saya juga harus mempunyai stamina dan tahap kesihatan tinggi untuk kebaikan diri serta kerjaya saya ceburi,” katanya.

Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham berkahwin dengan pengurusnya dan ONE, Mohd Firdaus Hajar, pada 16 Mei 2015. Mereka bagaimanapun berpisah pada hujung tahun lalu.

Mimi berkongsi, selain rancak mempromosikan single terkini berjudul Superfly, dia juga turut menjadikan senaman sebagai rutin harian.

“Syukur saya sudah melupakan kisah perpisahan itu dan sekarang bangkit dengan single solo berjudul Superfly. Saya menulis sendiri lirik lagu ini bersama Omar K, Shazee Ishak dan Audi Mok.

“Superfly berkisar mengenai jatuh dan bangun diri ini, serta bagaimana saya mencari keyakinan untuk terus hidup. Boleh dikatakan, lagu terbaru ini menceritakan kisah hidup saya sebagai wanita berdikari,” kata Mimi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.