Pilihan Raya Bukan Untuk Bersuka Ria

LIPIS: Datuk Seri Najib Razak berkata, pilihan raya bukan tempoh untuk bersuka ria sebaliknya bermatlamat memilih Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan di peringkat Pusat dan negeri.

Pengerusi BN itu mengingatkan jentera parti supaya bekerja keras dan menegaskan persempadanan dilakukan tidak menjamin kemenangan BN pada pilihan raya umum 9 Mei ini.

“Tidak kira siapa calon kalau dia lambang BN wajib sokong…sebab apa? Sebab kita hendak tubuhkan kerajaan, ia bukan soal suka-suka dengan tengok bendera siapa lebih banyak.

“Jangan lupa matlamat utama kita adalah untuk membentuk kerajaan di peringkat nasional dan negeri, kita hendak kerajaan kuat untuk tolong rakyat pada masa hadapan.

“Bagi sokongan kepada BN untuk mewujudkan kerajaan kuat dan mudah bagi saya mentadbir negara tanpa diganggu gugat,” katanya berucap pada majlis pecah tanah Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan, dekat sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika simbolik pecah tanah di Majlis Pecah Tanah Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan, Lipis, Pahang. – Foto Syarafiq Abd Samad

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama orang ramai ketika di Majlis Pecah Tanah Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan, Lipis, Pahang. – Foto Syarafiq Abd Samad

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kesejahteraan Tempatan, Datuk Seri Mohamad Mentek.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut merasmikan pecah tanah projek naik taraf jalan daripada Pos Betau ke Pos Lejang bernilai RM15 juta.

Beliau turut meluluskan masing-masing RM3 juta untuk membina Pusat Latihan Giat Mara di FELDA Sungai Koyan dan masjid baharu Tanjung Gahai, Lipis.

Sementara itu, Najib berkata, pembangkang pada musim pilihan raya ini akan terus menabur fitnah antaranya mendakwa negara bakal muflis sedangkan keadaan adalah sebaliknya dan kerajaan di bawah pentadbiran BN dilihat mampu menjalankan pelbagai projek seperti pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan.

“Apa pembangkang kata adalah mengarut dan pembohongan, saya sebut bahawa pada musim pilihan raya ini negara berdepan tsunami fitnah, mereka tiada senjata lain…tiada senjata ampuh hanya tabur fitnah dan hasut kebencian.

“Tetapi apakah itu prinsip berkenaan dalam kita memilih siapa layak menjadi kerajaan? Jangan pilih kerana kebencian sebaliknya pilih kerajaan yang mampu bagi manfaat, dalam tempoh 60 tahun dan lima tahun kebelakangan ini siapa bantu melainkan BN,” katanya.

Beliau berkata, BN akan terus berpegang kepada dasar membantu semua kelompok masyarakatbagi memastikan setiap rakyat merasai nikmat pembangunan, pertumbuhan ekonomi dan kekayaan negara.

“Berbeza di sesetengah negara, hanya golongan atasan dan berpendapatan tinggi mendapat limpahan ekonomi tetapi tidak bagi golongan B40 dan bawahan, kita tidak percaya sistem ekonomi tidak ada campur tangan kerajaan atau dipanggil sistem ekonomi kapitalis.

“Kita percaya kepada ekonomi bebas tetapi masih ada campur tangan kerajaan untuk mengagihkan kekayaan supaya mereka berpendapatan rendah dan sederhana meningkat lebih cepat (taraf hidup),” katanya.

Najib berkata, hasil diperoleh menerusi kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga diagihkan kepada golongan memerlukan antaranya dengan meningkatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak 100 peratus iaitu daripada RM400 kepada RM800 yang diserahkan pada Jun depan.

“Golongan kelas pertengahan pun dibantu dengan mengurangkan cukai sebanyak dua peratus, banyak yang kita sudah bantu kalau hendak cerita panjang,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.