Portal Sebenarnya.my Capai 27 Juta Hits Sejak Dilancar – MCMC

KUALA LUMPUR – Portal sebenarnya.my merekodkan sebanyak 27 juta hits dengan purata lebih dua juta hits setiap bulan sejak dilancarkan pada Mac tahun lepas.

Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Eneng Faridah Iskandar berkata angka berkenaan menunjukkan bahawa tahap kesedaran masyarakat dalam membudayakan amalan menyemak, menganalisis dan menentusahkan sesuatu berita yang diterima semakin meningkat.

“Sebenarnya.my merupakan sebuah portal yang memberikan fokus kepada kandungan-kandungan berita seperti berita tular yang disahkan palsu, peringatan atau makluman agar orang ramai berwaspada dengan sebaran komunikasi yang palsu serta penjelasan mengenai berita yang ditularkan.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa berita-berita yang diterima itu kemudiannya akan dirujuk kepada saluran rasmi atau agensi-agensi kerajaan yang berkenaan untuk ditentukan kesahihannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Eneng berkata kerjasama kukuh melibatkan 22 kementerian serta lebih 100 agensi kerajaan dan organisasi atau syarikat berkaitan kerajaan membolehkan berita tidak benar yang tular di media sosial disanggah dengan pantas sekaligus menidakkan impak kepada pihak yang terkesan.

“Justeru, orang ramai adalah digesa untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan menerusi portal sebenarnya.my dalam membantu pihak berkuasa untuk memerangi ancaman berita palsu.

“Sekiranya anda terjumpa atau terbaca berita-berita palsu yang membabitkan kepentingan awam dan negara, laporkan segera kepada kami melalui saluran-saluran yang disediakan,” tambah Eneng lagi.

Katanya, selain aplikasi mudah alih, jangkauan sebenarnya.my juga bakal diperluaskan di platform media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram bagi mencapai khalayak dan jangkauan pengguna media sosial yang lebih luas seluruh negara. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.