Pusat Transformasi Nelayan Bantu Nelayan Setempat Jana Pendapatan

ARAU – Kewujudan Pusat Transformasi Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Perlis Selatan di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat membolehkan lebih banyak aktiviti ekonomi dijalankan bagi meningkatkan pendapatan golongan terbabit.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perlis Ismail Ladin berkata pusat transformasi yang berharga RM1 juta serta siap pada November tahun lepas itu mengandungi pusat memproses dan jualan hasil laut, kedai runcit, restoran serta pasar nelayan.

Beliau berakta ia juga dijadikan tempat untuk nelayan menimba ilmu pengetahuan semasa mengenai industri perikanan seperti teknologi dan kaedah menangkap ikan.

Selain itu, katanya LKIM juga membantu PNK Kuala Sungai Baru meyediakan kertas kerja bagi memohon bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membina sebuah chalet tiga tingkat kerana mendapat permintaan tinggi.

Pengusaha ikan masin, Nur Aishah Dahari, 31, bersyukur kerana kewujudan pusat tranformasi itu banyak membantu beliau untuk memasarkan hasil laut termasuk menjual kepada pemborong.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mementingkan kebajikan rakyat. Pembinaan kemudahan ini membolehkan kami menjalankan aktiviti ekonomi dan seterusnya menjadikan kualiti hidup kami bertambah baik,” tambah beliau. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.