Undi TLDM Adalah Rahsia

KUALA LUMPUR: Semua warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bebas menentukan pemilihan masing-masing, ketika mengundi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Justeru itu, semua pegawai dan anggota TLDM dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan sebarang hasutan yang boleh menjejaskan keputusan ketika mereka membuat pilihan masing-masing.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berharap semua anak buahnya mengambil kesempatan melaksanakan peluang masing-masing untuk mengundi.

“Saya berharap, pegawai dan anggota TLDM menggunakan kebijaksanaan masing-masing berdasarkan fakta, pemerhatian, pencapaian yang dikecapi dan pengalaman diri kita sendiri.

“Sebagai warga negara yang penuh bertanggungjawab, undilah dengan penuh bijaksana dan ketahuilah undi kita adalah rahsia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Kamarulzaman turut mengarahkan semua pegawai pemerintah dan bahagian untuk membantu memastikan seluruh warga TLDM diberi kelepasan untuk mengundi serta faham hak mereka menentukan masa depan negara terus terjamin.

“Bagaimanapun, sebagai anggota tentera yang profesional dan taat kepada Raja dan negara tercinta, semua warga TLDM dinasihatkan untuk tidak membabitkan diri dengan sebarang kegiatan politik.

“Saya mengambil kesempatan menasihatkan semua warga TLDM untuk melaksanakan proses pembuangan undi dengan penuh adab serta kekalkan tahap disiplin kita yang tinggi,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.