Warga FELDA Diminta Kekal Setia Kepada BN – Zahid

BAGAN DATUK – Golongan peneroka dan kepimpinan Felda di seluruh negara diminta kekal setia kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti berupaya memaju dan membangunkan kawasan tanah rancangan itu dengan teratur dan baik, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kerajaan BN telah melaksanakan pelbagai pembangunan di Felda termasuk perumahan untuk generasi kedua dan ketiga, perumahan mampu milik serta menambah baik infrastruktur.

Katanya memang diakui terdapat kelemahan dalam pengurusan pelaburan Felda suatu ketika dahulu, namun segala kelemahan itu telah diatasi oleh Pengerusi Felda yang baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

“Antara langkah yang telah diambil termasuk penstrukturan semula bentuk pelaburan Felda selain mengendalikan keseluruhan hutang (peneroka beli saham) Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

“Sekarang Felda berada di landasan yang betul dan kita berharap peneroka dan pengurusan Felda memberi kepercayaan kepada Shahrir dan (kerajaan) BN,” katanya kepada pemberita selepas Program Kenduri Pusat Daerah Mengundi Zon Jambatan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu di Kampung Banang di Hutan Melintang di sini, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas tindakan pembangkang yang kini giat berkempen dan memburukkan kerajaan BN di kawasan Felda bagi meraih undi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Beliau berkata terdapat 54 kawasan Parlimen terletak di dalam kawasan Felda.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap golongan peneroka yang telah terpengaruh dengan dakyah pembangkang supaya kembali menyokong BN untuk pembangunan berterusan Felda.

“Jangan buat silap, saya harap semua kawasan Parlimen di kawasan Felda kekal dan yang telah terlepas ke tangan orang lain (pembangkang), kembali kepada kita untuk kita bangunkan bersama-sama.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya berjanji tetapi telah melaksanakan pelbagai pembangunan di Felda termasuk perumahan generasi kedua dan ketiga, perumahan mampu milik serta menambah baik kemudahan infrastruktur,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.