20 Juta Tontonan Hadiah Paling Bermakna

KUALA LUMPUR: Genap usia 26 tahun semalam, Sufian Suhaimi menganggap kejayaan single Di Matamu mencatat lebih 20 juta tontonan di YouTube pada hari istimewanya itu, sebagai hadiah paling bermakna.

Belum sampai dua bulan single ‘berhantu’ itu dipromosikan, impaknya sangat besar lantas mengukuhkan nama Sufian yang putus tunang dengan aktres, Elfira Loy, dalam dunia seni suara.

Sufian memberitahu, dia tidak menjangka penerimaan peminat terhadap lagu Di Matamu cukup pantas.

“Saya amat bersyukur… Saya harap momentum single terbaharu ini dapat dikekalkan biarpun saya tahu banyak lagu lain bersaing di pasaran.

“Namun, dalam hati, saya mahu lagu ini lebih berjaya berbanding karya yang pernah saya hasilkan. Ini suatu kejayaan yang cukup istimewa sempena hari jadi saya yang ke-26,” katanya kepada BH Online.

Sehingga semalam, semakan di YouTube mendapati, single Di Matamu yang turut dinyanyikan artis lain, sudah ditonton lebih 20 juta kali. Single yang dikatakan berkisar kisah putus cinta Sufian itu, dicipta Sirkhan dan Rinkarnaen.

Sebelum ini, Sufian tampil dengan single Terakhir, Terasa Ada serta Harus Aku.

Sufian berkata, dia dan teman-teman tidak pernah berehat mencari idea baharu untuk dijadikan single.

“Jika diikutkan, kami sudah ada beberapa lagu untuk diketengahkan namun belum menetapkan karya yang mana sesuai dirakam.

“Insya-Allah bagi single seterusnya, saya mahu tampil berbeza… Mungkin bukan lagi lagu balada. Saya mahu melawan arus dan lari daripada kebiasaan.

“Jadi mungkin saya akan tampil dengan konsep R&B atau rock demi mencari aura berbeza,” katanya.

Mengenai sambutan hari jadi yang dianjurkan kelab peminatnya, Sufianators di sini, petang semalam, dia cukup terharu dengan inisiatif diambil penyokongnya.

“Ini kali kedua saya diraikan seiring dengan tempoh saya berjinak dalam dunia seni,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.