Artis Malaysia Bakal Pamer Budaya Tempatan Di Festival Wall To Wall 2019

KUALA LUMPUR – Artis tempatan Mohd Zulfadli Ahmad Nawawi yang juga dikenali sebagai Akid One berhasrat mempamerkan budaya Malaysia semasa mewakili negara di Festival Wall to Wall 2019 (Wall to Wall 2019) di Victoria, Australia.

Zulfadli diumumkan sebagai pemenang utama pertandingan seni jalanan ‘Make Your Mark in Melbourne’ tahun ini, anjuran Visit Victoria, (syarikat pelancongan dan acara Victoria) dengan kerjasama pemaju hartanah terkemuka Malaysia, UEM Sunrise Bhd dan Publika Shopping Gallery (Publika) di sini hari ini.

Menghasilkan mural bertajuk ‘I love MelBURN’, Zulfadli membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, lawatan ke Melbourne, tajaan barangan dan peluang mendapatkan dindingnya sendiri di Wall to Wall 2019, satu-satunya festival seni jalanan di Australia.

Shaun Hossack, Pengarah Seni Festival Wall to Wall Festival Victoria, yang juga ketua hakim pertandingan tersebut, turut mengumumkan pemenang tempat kedua, Kong Chak Kiong juga akan berpeluang mendapatkan ruang sendiri di Wall to Wall 2019.

Alex Yong, Timbalan Pengurus Besar Sun Victory Sdn Bhd, anak syarikat UEM Sunrise, berkata Zulfadli, Kong dan artis lain yang disenarai pendek dalam pertandingan itu boleh menikmati peluang kerjaya yang lebih besar untuk mempamerkan karya seni mereka di projek pembangunan UEM Sunrise di Melbourne.

Melbourne ialah ibu kota wilayah Victoria, di Tenggara Australia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UEM Sunrise Bhd Anwar Syahrin Abdul Ajib dalam satu kenyataan berkata, hubungan kumpulan itu dengan Melbourne dibuktikan dengan pembangunan projek utama iaitu Aurora Melbourne Central, Conservatory dan Mayfair.

Pada September ini, UEM Sunrise akan menyerahkan kunci kepada pembeli kediaman mewah, Conservatory, projek bernilai A$300 juta (RM900 juta), di Mackenzie Street di Melbourne.

Sementara itu, Aurora Melbourne Central juga akan diserahkan kepada pembeli mulai suku ketiga 2018 manakala kerja tapak untuk Mayfair akan bermula tahun ini, kata Anwar.

Beliau berkata Melbourne bukan sahaja tempat yang baik untuk menjalankan perniagaan tetapi juga penuh dengan semangat budaya, yang ideal untuk mempamerkan bakat seni jalanan tempatan bagi mewakili sebuah syarikat Malaysia di sana.

“Oleh itu, kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Visit Victoria dan Publika dalam menganjurkan pertandingan ini, yang akan membawa artis-artis Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan menyediakan platform bagi para peserta akhir pertandingan ini mempamerkan karya mereka dalam projek kami di Melbourne.

“Sebagai pemaju di Melbourne, kami sangat teruja untuk menjalankan tanggungjawab kami bagi menyumbang kepada budaya yang dinamik di bandar ini dengan memperjuangkan seni kreatif, kerana ia meningkatkan daya hidup dan nilai aset pembangunan dan komuniti sekitarnya,” katanya.

Hasil kerja finalis pertandingan karya ?Make Your Mark in Melbourne’ dan pameran foto Shaun Hossack boleh disaksikan di The Square dan Level G3 di Publika sehingga 15 Mei ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.