Diskaun Tol 10 Peratus Di Tiga Lebuh Raya Sempena PRU14

KUALA LUMPUR – Semua pengguna kenderaan kelas 1 (kereta atau kenderaan dua gandar) akan menikmati diskaun tol 10 peratus bagi perjalanan mulai 12.01 tengah malam hingga 12 tengah malam, 9 Mei 2018 di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Menurut pengurusan Divisyen Tol IJM, pengendali syarikat konsesi ketiga-tiga lebuh raya tersebut, diskaun itu diberikan sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan hari pengundian pada 9 Mei.

Semua plaza tol Besraya dan NPE akan terlibat dalam pemberian diskaun ini manakala bagi LEKAS hanya plaza tol Ampangan sahaja yang terlibat, menurut Divisyen Tol IJM dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff berkata pemberian diskaun ini merupakan inisiatif tanggungjawab korporat sempena PRU14 serta menggalakkan orang ramai pulang mengundi.

“Kami juga ingin menyarankan kepada pengguna lebuh raya untuk menggunakan LEKAS bagi yang ingin pulang ke arah selatan dan bagi yang ingin ke arah timur mereka boleh menggunakan Besraya melalui plaza tol Loke Yew untuk ke Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) untuk memastikan perjalanan lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata untuk mendapatkan maklumat trafik terkini di semua lebuh raya tersebut, pengguna boleh mengikuti laman Twitter @BESRAYAtrafik, @NPEtrafik dan @LEKAStrafik serta Instagram #besrayahighway, #npehighway dan #lekashighway.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi 1-800-88-0999 (Besraya), 1-300-88-1010 (NPE) dan 1-800-88-8021 (LEKAS). – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.