JDT Turun Tanpa Insa Di Paroi

JOHOR BAHRU: Meskipun lawan dilihat bergelut di kelompok bawahan Liga Super, pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap menghormati Negeri Sembilan apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Pengendali JDT, Raul Longhi tidak menafikan skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah itu akan tampil dengan penuh muslihat taktikal dan mampu melakar kejutan jika anak buahnya memberi ruang untuk pemain tuan rumah bergerak bebas.

Katanya, ketiadaan Natxo Insa yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan ketika aksi menentang Selangor, Rabu lalu sedikit menjejaskan persiapan skuad Harimau Selatan dalam usaha memburu kemenangan ketiga berturut-turut bagi mengukuhkan kedudukan teratas.

“Natxo (Insa) tidak dapat diturunkan menentang Negeri Sembilan selepas dia mengalami kecederaan malah saya juga belum pasti dapat menggunakan khidmat Fadhli (Shas) yang turut cedera.

“Saya boleh katakan Fadhli mungkin 50-50. Semuanya bergantung sama ada dia sempat pulih sebelum aksi menentang Negeri Sembilan.

“Apapun saya sudah ada pilihan untuk mengisi kekosongan Natxo dan Fadhli seandainya mereka tidak dapat diturunkan.

“Saya melihat rakaman video aksi Negeri Sembilan menentang Selangor ketika pasukan itu tewas 1-2 dan mereka memiliki barisan pemain muda yang sering bekerja keras dan kesungguhan mereka seakan-akan pemain Kelantan yang begitu rajin sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.

Longhi menegaskan, setiap pemain JDT harus mengekalkan konsisten memburu kemenangan dan mentaliti itu mampu memberi impak positif dalam usaha untuk menjarakkan mata dengan pencabar terdekat, Pahang.

Beliau juga mahu barisan serangan yang diturunkan tidak mempersia-siakan peluang terhidang untuk mencipta jaringan dan memberi komitmen 100 peratus.

Katanya, keupayaan Negeri Sembilan yang bangkit mencatat keputusan seri 3-3 dengan Kedah pada aksi di Alor Setar, Selasa lalu boleh dianggap luar biasa dan ia membuktikan pasukan itu sudah mula mempamerkan taring.

“Mereka gemar berlari dan semangat barisan muda pasukan itu dilihat mampu memberi ancaman dan kita kena fokus dalam perlawanan dan ia aksi sukar buat kami.

“Saya mahu pemain JDT tidak ambil mudah dan mengikut perancangan taktikal yang akan diterapkan malah mentaliti setiap pemain harus positif untuk berdepan Negeri Sembilan,” kata Longhi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.