Ops Caviar Bukti FELDA Serius Basmi Rasuah

Pada Februari lalu, imej Felda terus diburukkan apabila Transparency International Malaysia (TI-M) iaitu sebuah institusi bebas yang menentang rasuah telah mengeluarkan laporan mengenai indeks persepsi rasuah.

Selain skandal 1 MDB, SRC International Sdn Bhd dan kes perbicaraan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menjadi inti penting laporan itu, skandal rasuah membabitkan FELDA turut mendapat perhatian oleh institusi bebas itu.

Seperti biasa, oleh kerana pendedahan ini dibuat oleh sebuah institusi bukan kerajaan yang dipercayai kewibawaannya, maka isu FELDA itu telah menjadi ‘bola tanggung’ yang cukup lumayan untuk segelintir pihak yang konsisten menyerang dan mengkritik pengurusan FELDA.

Dari satu sudut, sebenarnya tiada siapa pun yang menafikan bahawa memang wujud masalah dalaman FELDA. Pihak pengurusan tertinggi agensi ini juga tidak pernah mengambil sikap menyalahkan TI-M ekoran pendedahan ini.

Tetapi satu perkara yang perlu kita fahamkan juga adalah wujud perbezaan ketara antara indeks rasuah dengan indeks tanggapan rasuah seperti mana yang diterbitkan oleh TI-M.

Apabila kita gagal memahami beza kedua-duanya, maka kita akan mudah keliru dan akhirnya bersikap tidak adil dalam menghukum sesetengah pihak.

Secara mudahnya, indeks tanggapan rasuah yang dibuat oleh TI-M ini adalah berdasarkan kepada persepsi orang ramai dan pihak tertentu terhadap pentadbiran FELDA yang memang sebelum ini telah berdepan siri tangkapan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Apabila media menyiarkan tangkapan demi tangkapan yang membabitkan tokoh tertentu dalam FELDA, maka ia telah berjaya mencipta persepsi dalam kalangan orang ramai bahawa FELDA adalah ‘lubuk rasuah’.

Tetapi benarkah persepsi bahawa FELDA adalah ‘lubuk rasuah’? Jawapan kepada soalan ini tidak boleh dijawab antara ya atau tidak melainkan perlu diberikan beberapa penjelasan terperinci.

Seperti disebutkan tadi, benar berlaku kepincangan pentadbiran di dalam FELDA termasuklah masalah rasuah. Tetapi masalah ini bukanlah sesuatu yang asing tambahan pula FELDA merupakan sebuah agensi yang besar dan mempunyai pelbagai karenah yang perlu ditangani.

FELDA juga merupakan ‘lubuk emas’ kerana kemampuan memberi bantuan dan projek yang banyak kepada peneroka. Tetapi kelebihan inilah yang mengundang bencana kemudiannya. Di sinilah masalah bermula. Daripada ‘lubuk emas’, FELDA telah disalah tadbir oleh sesetengah pihak sehingga menjadi ‘lubuk rasuah’.

Tetapi pendapat itu pula tidaklah mengesahkan bahawa FELDA langsung tidak berminat untuk mengambil tindakan untuk menangani masalah rasuah yang berlaku.

Hal ini boleh dibuktikan melalui kisah berikut:

Jika pembaca pernah mendengar Ops Caviar, tahniah. Itu bermaksud para pembaca memang berminat untuk memahami apa yang telah FELDA lakukan untuk menangani rasuah.

Ops Caviar ini merupakan siasatan SPRM bagi mendakwa penyelewengan yang berlaku dalam Projek Penternakan Ikan Sturgeon.

Ceritanya begini, pada Mac 2014, berlaku dua kerja di kawasan projek penternakan ikan di Kuala Tahan iaitu kerja rekabina dan kerja sivil. Tetapi anehnya projek ini pula tiada laporan detil yang dibentangkan kepada Lembaga FELDA.

Projek ikan ini telah diletakkan di bawah Unit Pengurusan Transforvasi. Untuk menjalankan projek ini pula, unit ini membentuk dua syarikat iaitu Felda Korea Malaysia Sdn Bhd pada 17 Julai 2013 dan Felda Caviartive Sdn Bhd pada 7 Januari 2014.

Masa terus berlalu dan akhirnya pada tahun 2016 dan 2017, SPRM mula menghidu sesuatu yang ‘hanyir’ telah berlaku dalam urusan itu lalu bertindak menahan beberapa individu yang berkaitan dengan kes ini.

Dalam tempoh yang singkat, kes ini terus mendapat liputan meluas dari media.

Rentetan serbuan SPRM itu, hayat unit dan dua syarikat pengendali projek itu gagal bertahan lama dan akhirnya pada Februari 2015, FELDA bertindak membubarkan unit itu manakala projek yang dijalankan diletakkan bawah pemantauan Bahagian Pelaburan, Jabatan Kewangan FELDA.

Sikap proaktif yang FELDA ambil dalam Ops Caviar ini menjelaskan tiada sikap pilih kasih diambil apabila
berdepan masalah.

FELDA juga menyokong penuh SPRM dalam usaha membanteras salah laku berkaitan rasuah dengan memberi kerjasama sepenuhnya ke atas siasatan yang diambil.

Pada tahun lalu, komitmen FELDA untuk menentang rasuah terus dikuatkan apabila menyertai sebuah majlis untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan SPRM.

Selain itu, Seorang pegawai kanan SPRM akan ditempatkan di Felda bagi memastikan tadbir urus yang baik diamalkan oleh pengurusan Felda dan seterusnya mampu menerapkan budaya integriti di kalangan petugas.

Malah menyentuh mengenai skandal kehilangan tanah FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad sendiri mengakui tiada laporan polis yang ditarik balik walaupun tanah itu berjaya diperoleh semula.

Cukuplah Ops Kaviar ini sahaja yang dikongsikan untuk menutup mulut pengkritik kononnya Felda tidak serius menangani masalah rasuah.

Ditambah dengan kehadiran Tan Sri Shahrir Samad sebagai pengerusi Felda bermula tahun lalu, diyakini imej bersih beliau akan memaut semula hati dan minda masyarakat khususnya warga Felda dan peneroka untuk kembali menyokong Felda.

 

Sumber: Facebook FELDA – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.