Pembunuh Dr Fadi Guna Pasport Palsu Serbia And Montenegro – Sumber

BANGKOK – Dua suspek yang dikaitkan dengan kes pembunuhan pensyarah warga Palestin Dr Fadi Mohammed Al Batsch bulan lepas, dipercayai menggunakan pasport palsu dari Serbia and Montenegro untuk memasuki Malaysia.

Selepas melaksanakan pembunuhan yang dirancang rapi itu ke atas ahli akademik Palestin yang mempunyai kaitan dengan Hamas pada 21 April, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri ke Thailand menggunakan laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand.

“Polis Malaysia telah mendapatkan kerjasama daripada Polis Diraja Thailand untuk mengesan dan menangkap kedua-dua suspek. Seorang pegawai kanan polis dari Bukit Aman telah pergi ke Bangkok baru-baru ini untuk bertemu para pegawai daripada Polis Diraja Thailand,” kata sumber keselamatan itu kepada Bernama di sini hari ini.

Bernama difahamkan pegawai kanan itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Risikan/Operasi Datuk Huzir Mohamed, yang mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Thailand semalam.

Huzir turut memberi taklimat perkembangan kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Sumber itu enggan menyatakan sama ada kedua-dua suspek terbabit masih berada di Thailand.

Hari ini, Ketua Polis Negara an Sri Fuzi Harun mengesahkan Bukit Aman telah menghantar pasukan khas ke Bangkok berkaitan dengan siasatan kes pembunuhan Dr Fadi.

Beliau berkata polis turut mendapatkan kerjasama daripada rakan sejawatan mereka di Singapura dan Filipina dalam usaha mengesan pembunuh Dr Fadi.

Pada 21 April. pensyarah kejuruteraan elektrik berusia 35 tahun itu tembak mati oleh dua lelaki berwajah ‘Timur Tengah’ yang menunggang motosikal berkuasa tinggi ketika mangsa sedang berjalan dari kondominiumnya di Setapak menuju ke masjid yang berhampiran untuk mengerjakan solat Subuh.

Beliau dipercayai ditembak 10 kali oleh pembunuhnya.

Kes itu menarik perhatian seluruh dunia berikutan dakwaan terdapat kaitan antara Dr Fadi dan Hamas dan usaha mangsa untuk membangunkan keupayaan dalam Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV).

Keluarga warga Palestin itu mendakwa pembunuhan itu dirancang agensi pengintipan/risikan Israel, Mossad, oleh kerana agensi itu diketahui pernah melakukan pembunuhan yang serupa ke atas Hamas dan pemimpin penentang Palestin yang lain sebelum ini.

Pensyarah itu yang tinggal di Malaysia sejak hampir 10 tahun lepas, sudah beristeri dan mempunyai tiga anak. Beliau merupakan pakar dalam tenaga alternatif dan bertugas di University Kuala Lumpur-British Malaysia Institute (UNIKL-BMI).

Jenazahnya dibawa pulang ke Gaza untuk dikebumikan.

Sumber keselamatan itu yang enggan identitinya didedahkan juga memberitahu Bernama kedua-dua suspek berkenaan didakwa memasuki Malaysia pada awal Februari berdasarkan rekod penyewaan rumah mereka.

Beliau mengesyaki kedua-dua lelaki itu melarikan diri ke Thailand tidak lama selepas pembunuhan itu, dalam usaha untuk pulang ke ?negara asal’, yang beliau enggan nyatakan.

Ditanya sama ada kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan agensi risikan Israel seperti yang disyaki banyak pihak termasuk keluarga mangsa, sumber itu mengelak daripada mengesahkan dakwaan berkenaan, namun mengakui bahawa kedua-dua lelaki itu ? sangat profesional’ bidang mereka.

“Kedua-dua lelaki itu mempunyai kaitan dengan pihak berkepentingan dalam konflik Arab-Israel,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.