Pemerkasaan Wanita Perlu Pendekatan Holistik – Nancy

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri mempersoalkan kemampuan pembangkang dari segi politik untuk memperkasakan wanita di negara ini memandangkan mereka tidak memahami isu itu.

Beliau berkata pembangkang membuat ”janji manis” tentang kemungkinan melantik seorang wanita sebagai timbalan perdana menteri sekiranya mereka dipilih untuk memegang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 9 Mei ini.

“Retorik politik ini menunjukkan kegagalan dan ketidakmampuan mereka untuk memahami bahawa pemerkasaan adalah suatu proses, bukan produk. Ia bukan seperti pemberian hadiah dalam pertandingan ratu cantik,” katanya dalam sebuah artikel yang disiarkan secara dalam talian oleh CEO Magazine baru-baru ini.

Nancy, yang mempertahankan kerusi parlimen Batang Sadong di Sarawak pada pilihan raya umum kali ini, berkata pemerkasaan wanita memerlukan pendekatan holistik bagi menangani isu unik dan beraneka rupa, yang dihadapi wanita.

Kata Nancy, beliau bersetuju dengan pandangan European Institute for Gender Equality bahawa usaha memperkasakan wanita mempunyai lima komponen iaitu kesedaran wanita tentang harga diri mereka; hak mereka untuk mempunyai dan menentukan pilihan; hak mereka untuk mempunyai akses kepada peluang dan sumber; hak mereka untuk mempunyai kuasa bagi mengawal kehidupan sendiri di rumah dan di luar rumah; dan kemampuan mereka untuk mempengaruhi arah tuju perubahan sosial bagi mewujudkan orde sosial dan ekonomi yang lebih adil di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Nancy berkata kerajaan BN mengamalkan “pendekatan bersifat amat berfokus’dan holistik dalam mewujudkan inisiatif bemakna untuk memperkasakan wanita dalam erti kata sebenarnya kerana wanita berhak mendapat lebih daripada tokenisme dan pengkategorian sempit”.

“Saya sudah melihat sendiri bagaimana kita beraIih daripada sistem yang didominasi kaum lelaki kepada yang lebih pelbagai sifatnya,” katanya dalam artikel itu.

Beliau berkata kerajaan begitu giat berusaha untuk mewujudkan kadar perwakilan wanita yang lebih tinggi dengan menetapkan peruntukan minimum 30 peratus bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, di samping berusaha mencapai 30 peratus perwakilan wanita dalam lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

Menurutnya, manifesto pilihan raya umum BN juga memasukkan 14 perkara utama meliputi semua wanita, yang secara umumnya ingin memainkan pelbagai peranan, termasuk sebagai pemberi penjagaan, wanita yang bebas, pencari rezeki dan perekat yang menyatukan keluarga secara kukuh.

Beliau berkata Majlis Ekonomi Wanita, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan memastikan arah tuju dan pelaksanaan agenda ekonomi wanita diberi perhatian sewajarnya.

“Kami akui, usaha memperkasakan wanita juga memberi manfaat dari segi ekonomi. Saya yakin wanita akan memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara ketika kita melangkah masuk ke Revolusi Industri Keempat,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.