Penduduk Taboh Naning Dapat Masjid Baharu, Sekolah Agama

ALOR GAJAH: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, di sini, bakal menikmati kemudahan beribadah di masjid baharu yang akan dibina pada tahun ini.

Turut dibina sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sembilan SMA di kawasan berkenaan.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar, berkata masjid bernilai RM5 juta yang bakal dibina itu mampu memuatkan seramai 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

“Pembinaan masjid baharu ini mengambil inspirasi Masjid Biru di negara Turki, manakala reka bentuknya pula menyerupai Masjid Jamek Putra Masjid Tanah, sekali gus menjadi mercu tanda bagi DUN Taboh Naning.

“Pembinaan rumah ibadah ini dicadang di tepi jalan Pekan Simpang Ampat, sekali gus memudahkan penduduk untuk datang, malah pengunjung luar yang memasuki Melaka melalui Plaza Tol Simpang Ampat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan DUN Taboh Naning, Simpang Ampat, hari ini.

Latipah berkata, kerajaan negeri mahu pendidikan agama yang dipelajari sejak sekolah rendah diteruskan di peringkat sekolah menengah.

“Selain itu, kita juga akan menaiktaraf pekan Simpang Ampat sebagai bandar satelit dan pasar awam,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.