Tiket Konsert Ruffedge Habis Dalam Masa 3 Minit

KUALA LUMPUR: Tiket untuk 700 pembeli pertama konsert sulung kumpulan R&B dan soul, Ruffedge habis terjual dalam masa tiga minit selepas tempahan di atas talian mula dibuka pagi tadi.

Pengurus Besar MRS Production dan KLP Creative, Mohammad Rafie Saruddin berkata, tiket bagi kategori

VIP + Meet & Greet dan Party Zone + Meet & Greet laris dijual sejurus talian dibuka jam 10 pagi.

“Tiket bagi kedua-dua kategori itu habis ditempah dalam masa tiga minit. Berdasarkan sambutan luar biasa peminat ini, kami yakin kemunculan semula Ruffedge akan melakar sejarah baharu kepada kumpulan itu.

“Bagaimanapun, peminat tidak perlu kecewa kerana tiket bagi kategori lain seperti Party Zone dan Regular Zone masih boleh diperoleh,” katanya.

Ruffedge: 20th Anniversary Concert dijadualkan berlangsung di KL Live pada 4 Ogos depan untuk meraikan ulang tahun ke-20 kumpulan yang mula bertapak pada tahun 1997 itu.

Rafie berkata, sambutan memberangsangkan daripada peminat itu memberi petanda positif kepada kemunculan semula kumpulan yang dibarisi Cat Farish, Sein, Zain, Azan dan Mode itu selepas hampir 10 tahun membawa haluan masing-masing.

“Pencapaian Ruffedge ini mencatat sejarah baharu dalam penganjuran konsert artis tempatan. Penantian panjang Ruffedge ini berbaloi apabila peminat memberikan sambutan yang cukup hebat.

“Kami percaya, kejayaan awal ini membakar semangat mereka untuk memberikan persembahan terbaik pada malam itu nanti,” katanya.

Pada konsert itu nanti, Ruffedge akan menyampaikan rangkaian lagu popular seperti Bila Rindu, Khayalan, Tipah Tertipu, Tiada Lagi Cinta dan Da Bomb, selain memperkenalkan single terbaru, Seperti Mereka.

Tiket masih boleh diperoleh menerusi laman sesawang: www.ticketpro.com.my. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.