Wanita Dakwa Hamil Anak Pemuzik Rock, Awie Minta Beri Bukti

KUALA LUMPUR: Wings mencabar wanita yang mendakwa dihamilkan seorang pemuzik sebuah kumpulan rock supaya menunjukkan bukti jika yakin dirinya berada di pihak benar.

Vokalisnya, Datuk Azhar Othman atau Awie, berkata pihaknya juga takkan teragak-agak untuk membuat laporan polis andai nama anggota Wings dikaitkan bagi mengelakkan tempias fitnah.

Awie mendakwa, wanita berkenaan seakan-akan mempunyai agenda tertentu apabila menyembunyikan wajah di sebalik purdah, namun menghamburkan cerita yang belum tentu kesahihannya.

“Tunjukkan bukti kalau anda benar. Dedahkan juga identiti diri. Jangan sorokkan muka di sebalik niqab itu. Dia buat-buat cerita seolah-olah ini zaman jahiliah.

“Kalau gagal merebut cinta pun, jangan musnahkan kerjaya orang. Kami pun boleh buat laporan polis sebab ia tuduhan melampau,” katanya pada sidang media Nostalgia Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) Hotel Premiera, di sini petang tadi.

Terdahulu, seorang wanita membuat pendedahan media dengan mendakwa dirinya hamil lima bulan selepas menjalinkan hubungan sulit bersama pemuzik sebuah kumpulan rock.

Dia menegaskan terpaksa membuat pengakuan terbuka berikutan lelaki terbabit enggan bertanggungjawab atas perbuatannya.

Begitupun, Awie menegaskan akan menggesa individu dimaksudkan menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya jika terbukti dakwaan itu benar.

“Saya sendiri akan mendesak orang itu (untuk bertanggungjawab) kalau betul ada bukti kukuh. Sekiranya benar, kita cuba selesai secara baik. Manusia mana yang tak melakukan kesilapan?” katanya lagi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.