Cemas Wanita Mengandung Pitam Ketika Beratur Untuk Undi Awal

SUNGAI PETANI: Proses pengundian awal di Kem Lapangan Terbang, di sini, cemas seketika apabila seorang pengundi wanita yang mengandung kira-kira empat bulan tiba-tiba pitam pagi tadi.

Wanita berusia lingkungan 30-an itu kemudian terpaksa dibantu dan dipapah, sebelum kembali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

Terdahulu proses pengundian awal di kem berkenaan sedikit tegang apabila pengundi berdaftar yang hadir merungut kerana terpaksa berbaris panjang, selain faktor cuaca panas.

Masalah juga timbul apabila pengundi wanita termasuk yang mengandung dan membawa anak kecil terpaksa bersesak-sesak naik ke tingkat tiga bangunan untuk membuang undi.

Proses pengundian awal di Sungai Petani membabitkan 5,670 pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meliputi anggota tentera dan polis.

Daripada jumlah itu, 5,197 anggota tentera dan pasangan mengundi awal di Kem Lapangan Terbang, manakala 473 lagi membabitkan anggota polis yang mengundi di Sekolah Latihan Asas Kepolisian ( SLAK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini.

Di Langkawi, seramai 574 pengundi membabitkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pasangan, melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal di Markas Wilayah Laut (MAWILA) 3 hari ini.

Proses pengundian awal yang bermula seawal jam 8 pagi itu berjalan lancar dengan keadaan cuaca juga cukup baik.

Panglima MAWILA 3, Laksamana Pertama Rusli Ahmad, mengetuai senarai pengundi yang menunaikan tanggungjawab membuang undi di Dewan Tun Rahah TLDM.

Semua 574 warga TLM itu adalah sebahagian daripada 1,588 pengundi awal berdaftar di Langkawi membabitkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan satu lagi pusat pengundian awal ialah di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Pantai Chenang, di sini.

Di PULAPOL, seramai 1,014 pengundi awal turut menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi DUN Ayer Hangat dan Kuah.

Undi awal dilaksanakan buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan pindaan kepada Peraturan 27A, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 iaitu kategori orang yang boleh mengundi awal. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.