Manfaat Media Sosial Sebar Aktiviti Masyarakat

MARAN: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin memanfaatkan kebolehan menggunakan media sosial menyebarkan kegiatan dan aktiviti kemasyarakatan serta mendekati pengundi.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul itu berkata, beliau tidak hanya turun padang bertemu pengundi di kampung tradisional dan FELDA, tetapi turut berkomunikasi dengan pengundi di laman sosial.

Katanya, pendekatan itu juga dapat mendekati pengundi muda sekali gus menarik minat mereka menyokong BN.

“Selain memenuhi jemputan penduduk ke majlis tahlil, kenduri kendara dan melawat pekan sehari, kita perlu aktif mengendalikan sendiri laman sosial Facebook dan berinteraksi sendiri dengan pengikut dan orang ramai.

“Perlu difahami, sebahagian besar pengundi di DUN Kuala Sentul adalah pengundi muda dan mereka yang pertama kali mengundi.

“Mereka ini mudah mengakses laman sosial dan lebih gemari pendekatan sebegini. Saya harap dengan cara ini pengundi maklum mengenai perjuangan saya dan UMNO dalam membela kebajikan rakyat,” katanya selepas mengadakan program berjumpa penduduk di FELDA Ulu Jempol dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan mensasarkan setiap FELDA dan kampung tradisional di DUN Kuala Sentul mempunyai Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dan Perpustakaan Desa menjelang 2020.

Katanya, setakat ini, terdapat 13 PI1M di Daerah Maran dengan lima daripadanya di DUN Kuala Sentul iaitu FELDA Jengka 1,2,3,4 dan Felda Ulu Jempol, manakala di FELDA Jengka 5 dalam pembinaan dan dijangka akan dibuka tidak lama lagi.

Pelbagai kemudahan disediakan di PI1M antaranya komputer serba canggih dan bilik pembelajaran yang menyediakan 20 komputer dengan tenaga pengajar terlatih. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.