Nelayan Selangor Bantah Tol Jeti, Caj Joran

KUALA SELANGOR: Barisan Nasional (BN) akan memansuhkan cadangan kerajaan negeri pimpinan PKR untuk mengenakan bayaran Lesen Pendudukan Sementara (TOL) ke atas jeti nelayan dan caj penggunaan joran kerana ia membebankan golongan itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang juga calon BN Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata BN Selangor berjanji akan memansuhkan serta-merta cadangan bayaran TOL dan caj joran berkenaan jika diberi mandat mentadbir negeri ini.

“Kerajaan Persekutuan selama ini sentiasa membela nasib nelayan termasuk memberikan elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 setiap bulan selain bantuan bot serta pukat.

“Namun, mengapa kerajaan Selangor mencadangkan dasar yang bukan saja tidak menguntungkan malah membebankan rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pada program Tautan Kasih Nelayan Negaraku Kuala Selangor di Jeti Nelayan Sungai Buloh di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarahnya LKIM, Datuk M Saedon Majid yang beramah mesra bersama 50 nelayan setempat.

Nelayan di Selangor termasuk di daerah ini membantah cadangan kerajaan negeri yang bercadang mengenakan bayaran itu.

Tindakan itu disifatkan membebankan nelayan dikatakan membabitkan kutipan cukai jeti kepada setiap bot berjumlah RM600 setahun, dan RM10 bagi setiap joran digunakan mereka setiap kali turun ke laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Selangor, Jafar Yusuf, berkata pihaknya sebelum ini memang bercadang untuk menemui kerajaan negeri diterajui PKR bagi menyelesaikan isu berkenaan yang masih ‘tergantung’ sehingga kini.

“Isu caj TOL itu antaranya, didengari sejak sekian lama namun ia terbukti apabila kita mula menerima surat dan notis dikeluarkan pihak berkaitan pada tahun lalu.

“Biarpun ia belum dikuatkuasakan, nelayan yang merangkumi seramai 5,700 orang di 52 jeti negeri ini membantah sekeras-kerasnya perkara itu kerana membebankan selain meningkatkan kos hidup mereka,” katanya.

Kahar Buntal, 66, yang menjadi nelayan selama puluhan tahun, berkata beliau bimbang kerajaan pimpinan PKR akan melaksanakan caj tidak munasabah itu sekiranya kekal mentadbir negeri ini.

“Ketika di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, perkara seumpama itu tidak pernah ada kerana mereka memahami kehidupan dan pendapatan nelayan yang tidak menentu.

“Kerajaan negeri sepatutnya memikirkan kebajikan nelayan dan bukannya membebankan lagi kami dengan caj berkenaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.