Nixson Raih Emas Terbuka Thailand

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Nixson Kennedy merangkul pingat emas dalam acara pecut 100 meter (m) dengan catatan masa 10.57s di Kejohanan Balapan dan Padang Thailand yang berlangsung di Bangkok, semalam.

Catatan 10.57s itu adalah pencapaian terbaik atlet berkenaan musim ini, manakala rekod peribadi terbaik adalah 10.43s yang dicipta di Terbuka Korea pada Jun, tahun lalu.

Pada aksi saringan, anak didik Ithnin Mahadi ini mencatatkan kepantasan 10.72s, seterusnya melakarkan larian lebih pantas di pusingan separuh akhir dengan catatan masa 10.69s.

Pingat perak acara ini milik pelari dari Taiwan, Tai Sheng Wei yang mencatatkan kepantasan 10.63s sementara gangsa milik atlet dari Thailand, Bandit Chonchai dengan catatan 10.66s.

“Bagi saya pencapaian pada hari ini sangat memberangsangkan kerana saya berjaya melakar pencapaian terbaik musim ini.

“Banyak benda yang saya perlu ubah untuk mendapatkan pencapaian terbaik musim ini kerana pada tahun ini, saya agak bergelut untuk mendapatkan catatan masa… jadi saya bersyukur dengan pencapaian ini,” kata Nixson, ketika dihubungi.

Sementara itu, atlet remaja, Benedict Ian Gawok meraih pingat emas acara 110m lari berpagar lelaki dengan catatan masa 14.54s, sekali gus merakamkan pencapaian terbaik musim ini. Perak dan gangsa masing-masing milik Thailand, iaitu Patipan Tiamsaart dan Wannakorn Meethonyuaw masing-masing dengan catatan masa 14.90s dan 14.92s. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.