Peminat Pujuk Usah Bubar KRU

KUALA LUMPUR: KRU mengakui ramai peminat memujuk mereka menerusi pelbagai cara supaya membatalkan hasrat untuk membubarkan kumpulan itu.

Anggotanya, Datuk Norman Abdul Halim, berkata kebanyakan mereka yang meluahkan

perasaan sedih di atas pengumuman perpisahan KRU menggunakan Instagram dan Facebook sebagai medium bersuara.

“Kami sedar masih ada pendengar tegar yang membesar dengan lagu kami sukar untuk menerima kenyataan KRU akan dibubarkan selepas lebih 25 tahun di persada muzik.

“Ada yang berjumpa dan tak kurang juga menyalurkan kesedihan di laman sosial serta mengirimkan mesej langsung kepada setiap seorang daripada kami.

KONSERT Gergasi KRU 25 yang berlangsung di Istana Budaya selama tiga hari bermula malam tadi. – Foto Khairul Azhar Ahmad

“Namun, masih ramai yang faham situasi ini. KRU sudah jadi satu jenama, jadi biarlah kami berundur dari bidang nyanyian ini kerana sudah tiba masanya berbuat demikian.

“Takkan ketika usia sudah 60 tahun nanti KRU masih menari-nari di pentas. Lagi pun tiada apa lagi yang mahu dikongsi. Perkembangan kerjaya nyanyian trio ini juga sudah lama jauh daripada radar media,” katanya.

Norman berkata demikian usai Konsert Gergasi KRU 25 yang berlangsung di Istana Budaya selama tiga hari bermula malam tadi.

Persembahan mega bersempena jubli perak penubuhan KRU turut disifatkan sebagai konsert selamat tinggal kepada seluruh peminat setia.

Tidak hairan, sambutan luar biasa diraih Norman dan dua lagi adiknya, Edry serta Yusry, apabila panggung berprestij itu dipenuhi penonton yang bukan hanya seusia kumpulan berkenaan, ramai anak muda seawal belasan tahun turut kelihatan.

PERSEMBAHAN mega bersempena jubli perak penubuhan KRU turut disifatkan sebagai konsert selamat tinggal kepada seluruh peminat setia. – Foto Khairul Azhar Ahmad

Bermula daripada seleksi pertama, The Way We Jam, disusuli Awas, Terhangat Di Pasaran, Untukmu, Gadisku dan Negatif, penonton turut sama menyanyi serta bergoyang, sehinggalah kepada lagu penutup tirai, Fanatik.

Sudah pasti rasa sebak membuai jiwa di tengah kerancakan malam apabila mereka sempat mendedahkan, konsert berkenaan memberi makna besar dalam sejarah perjuangan KRU sebelum mengundur diri.

“Kami mahu Gergasi KRU 25 meninggalkan memori indah bukan hanya untuk peminat, malah terhadap kenangan yang bakal kami tinggalkan.

“Sebenarnya agak susah untuk kami membuat pilihan kerana terlampau banyak dendangan popular KRU yang mahu disampaikan.

“Susunan lagu untuk konsert di Istana Budaya dan di Singapura sebelum ini berbeza kerana kali ini kami mahu sampaikan seleksi hits KRU saja,” ulas Edry pula.

Menyingkap semula repertoire persembahan malam tadi, ternyata aura trio bersaudara itu tidak pudar, malah ia bukti mereka sebagai kumpulan rap unggul yang bakal meninggalkan legasi tersendiri. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.