Awie Korbankan Cita-cita Politik

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membawa nostalgia buat vokalis Wings, Datuk Azhar Othman atau Awie yang mengaku mempunyai 1,001 kenangan sejak mengenali apa itu proses undi dan pembentukan kerajaan.

Memasang bendera parti, membantu jentera kempen dan menjadi pemerhati pada hari mengundi menjadi antara kenangan Awie yang didedahkan dengan dunia politik oleh ayahnya sejak kecil.

“Saya didedahkan dengan dunia politik kerana ayah aktif berpolitik. Sebut apa saja sepanjang musim pilihan raya, semua kerja saya pernah buat.

“Daripada mengambil upah pasang bendera, tolong orang berkempen dan menjadi pemerhati ketika hari mengundi… Semua itu adalah pengalaman yang membuka mata saya,” katanya kepada BH Online.

Awie memberitahu, selepas lama terdedah dengan dunia politik, beliau mengaku mempunyai kecenderungan untuk terjun ke dalam bidang itu.

“Beberapa tahun lalu, ada pihak menawarkan saya menjadi Ketua Pemuda Bahagian dan ketika itu, saya agak berminat.

“Tetapi selepas mendapat nasihat ayah, saya batalkan niat itu. Ayah beritahu, jika sayangkan kerjaya dan Wings, baik lupakan saja tawaran itu.

“Ayah berpesan, peminat kamu mesti ada yang berbeza fahaman politik, jadi usah cari musuh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Awie berkata, beliau kembali ke lokasi di Selatan Thailand berhampiran Sungai Golok, bagi menyelesaikan penggambaran drama bersiri Bila Tuhan Berbisik arahan Raja Mukhriz.

Awie memberitahu, drama 13 episod yang mengambil latar sebuah sekolah pondok di perkampungan kecil itu dijangka disiarkan, November depan.

Sebelum ini, Awie mengumumkan bakal mengadakan majlis Nostalgia Ramadan Bersama Kumpulan Gitar Rancak Wings di Hotel Premiera Kuala Lumpur di sini, pada 26 Mei depan.

Ini adalah persembahan kedua Wings di lokasi sama di mana mereka bakal mendendangkan lagu era 1970-an hinga 1990-an. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.