Bale Nafi Kemenangan Barca

BARCELONA: Jaringan penyerang Real Madrid Gareth Bale menafikan kemenangan juara La Liga Barcelona dalam aksi El Clasico yang berakhir dengan seri 2-2 di Nou Camp awal pagi tadi selepas skuad tuan rumah kehilangan Sergi Roberto yang dibuang padang akhir separuh masa pertama.

Voli Luis Suarez memastikan Barca di depan seawal 10 minit perlawanan susulan pergerakan pantas dan hantaran Roberto manakala Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan buat finalis Liga Juara-Juara Real lima minit kemudian dari jarak dekat.

PENJAGA gawang, Keylo Navas (bawah) mengawal gawangnya bersama pertahanan dan kapten Real Madrid, Sergio Ramos dari diasak penyerang Barcelona, Lionel Messi (kanan) pada aksi perlawanan El Clasico di Stadium Camp Nou, Barcelona sebentar tadi. – Foto AFP

Bagaimanapun penyerang Portugal itu cedera buku lali ketika melakukan jaringan berkenaan dan digantikan tamat separuh masa pertama.

Bale hampir saja dibuang padang kerana menghentak kasutnya ke kaki Samuel Umtiti namun terlepas daripada hukuman tetapi Roberto dibuang padang beberapa detik kemudian kerana memukul Marcelo.

PERTAHANAN Real Madrid, Marcelo (kiri) dihalang pertahanan Barcelona Jordi Alba pada aksi La Liga di Stadium Camp Nou, Barcelona, awal pagi tadi. – Foto EPA-EFE

PENYERANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo (tengah) berjaya menyumbat gol pertama pasukannya pada perlawanan El Clasico menentang Barcelona di Stadium Camp Nou, Barcelona sebentar tadi. – Foto REUTERS

Lionel Messi kemudiannya menjaringkan gol ke-26 dalam aksi Clasico untuk meletakkan Barca yang beraksi dengan 10 pemain kembali di depan selepas 52 minit namun Bale menutup mulut penyokong Nou Camp dengan jaringan penyamaan.

PENYERANG Barcelona, Luis Suarez dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan pada saingan La Liga bertemu Real Madrid, di Stadium Camp Nou, Barcelona sebentar tadi. – Foto AFP

Kedua-dua kelab memburu kemenangan dan Real mungkin mempunyai lebih banyak peluang apabila Jordi Alba melanggar Marcelo namun Barca kekal tanpa kalah dalam liga berkenaan dengan baki tiga perlawanan.

Barca ketika ini memiliki 87 mata manakala Real di tangga ketiga La Liga dengan 72 mata selepas 35 perlawanan. Atletico Madrid di tangga kedua dengan 75 mata tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan.  – Reuters

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.