‘Jangan Lupa Tutup Dada’ – Pesan Adam Corrie

KUALA LUMPUR: Pelakon Adam Corrie mengingatkan wanita bertudung agar jangan lupa menutup dada setiap kali menggayakan hijab.

Melalui entri pada Instagram, Adam atau nama sebenarnya, Adam Corrie Lee Abdullah, 49, mempersoalkan mengapa wanita bertudung kebanyakannya sekadar melilitkan leher tanpa menutup dada.

“Sekarang memang trend atau aliran pakai tudung balut tengkuk ya? Jangan lupa tutup dada sekali seperti pesanan ‘hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada mereka’,” katanya.

Adam turut berkongsi surah al-Ahzaab ayat ke-59 berbunyi:

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anakmu dan isteri-isteri orang mukmin : Hendaklah mereka menghulurkan (melabuhkan) jilbabnya (tudung kepala yang labuh menutupi dada) ke tubuh mereka.

“Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenal dan tidak diganggu. Allah adalah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.”

Adam memberitahu, ayat itu ditujukan kepada suami dan bapa.

“Jadi suami dan bapa bertanggungjawab memastikan isteri dan anak-anak perempuan berpakaian mengikut syariat,” katanya.

Tambah Adam, baik lelaki mahupun wanita, masing-masing perlu menjaga maruah diri agar dapat menuju ke jalan Allah.

Sementara itu, Adam menasihatkan netizen tidak meletakkan nama rakan atau keluarga di ruang komen kerana ia secara tidak langsung akan mengaibkan individu terbabit.

“Jangan tag dan sebut nama sesiapa dengan tujuan hendak buat orang lain terasa dan diaibkan… Itu bukan cara Rasulullah SAW berdakwah.

“Lelaki dan wanita kena saling membantu menjaga maruah diri dan keluarga. Tak perlu tag kawan-kawan kalau nak tegur mereka. Nak tegur kawan-kawan biarlah berhikmah, jaga air muka kawan-kawan kita.

“Kita tutup aurat sempurna bukan hak untuk mengaibkan kawan kita. Kita bukan nak mengumpat dan aibkan sesiapa. Doakan mereka itu lebih baik daripada mengaibkan mereka.

“Hidayah itu milik Allah. Senyum selalu dan selalu bersangka baik, InsyaAllah hati tenang,” katanya.

Adam memeluk Islam pada Julai 2007 dan berkahwin dengan wanita berasal dari Teluk Wanjah, Kedah, Fazima Fuad, 30, pada 21 November 2008. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.