Media Barat Lapor Pembohongan Parti Pembangkang

KUALA LUMPUR: Laporan media barat tentang politik Malaysia sering menampakkan  kejahilan mengenai fakta dan penuh dengan pembohongan dari pembangkang, kata Sholto Byrnes, felo kanan di Institut Kajian  Strategik dan Antarabangsa  (ISIS) Malaysia.

Brynes, yang juga seorang pengulas dan penganalisis dan berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewartawanan di England, berkata mungkin terdapat beberapa wakil media asing yang membuat liputan mengenai negara seperti Malaysia, yang benar-benar tahu banyak mengenai Malaysia.

 

Brynes. – Sarawak Report

Beliau berkata banyak pencapaian penting di capai di bawah kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi tidak  dilaporkan atau diketepikan oleh media antarabangsa kerana mewarisi elemen berat sebelah terhadap Barisan Nasional (BN).

“Justeru, paradigma telah dicorakkan di Malaysia pada 1998 dan 2000 (berikutan  pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet). Media barat kemudian menolak pendekatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya fikir pada tahun-tahun sejak itu, di sini bermulanya sikap media barat terhadap Malaysia. Ia bukan padang yang sama rata,” kata beliau dalam temubual dengan NSTP mengenai pandangannya berhubung pendekatan media asing mengenai Pilihan Raya  Umum ke-14 (PRU14).

Temubual itu disiarkan dalam NSTP pada Ahad.

Ketika ditanya mengenai kredibiliti laporan mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Byrnes berkata adalah hipokrit bagi negara lain untuk  mengkritik pemberian BR1M terutama negara-negara Eropah kerana manfaat seperti itu seperti manfaat pekerjaan dan perumahan  juga diberi  kepada rakyat di negara-negara tersebut.

Beliau  percaya bahawa orang yang memandang remeh dan menyifatkan BR1M sebagai rasuah adalah salah sama sekali kerana ada golongan yang mungkin kurang bernasib baik  atau kehilangan pekerjaan yang memerlukan  bantuan dan adalah menjadi tanggungjawab  negara untuk membantu mereka.

“Mereka (media asing) memikirkan apa sahaja cara untuk memburukkan kerajaan. Dan apabila bercakap tentang liputan pilihan raya, contohnya, mereka akan melakukannya dari perspektif yang menyatakan “kami tidak fikir ia adil”,” kata beliau.

Selain itu, Byrnes berkata pembangkang mempunyai kecenderungan untuk mendekati media barat dan kebanyakan pengamal media barat menerima bulat-bulat apa yang dicanang oleh pembangkang tanpa  banyak soal.

Beliau berkata, sebagai  contoh Dr Mahathir berkali-kali mengatakan bahawa Malaysia telah menjadi satu daripada negara di dunia yang menghadapi  masalah rasuah paling buruk tanpa sebarang bukti atau asas ketika membuat dakwaan itu.

 

Laporan oleh The Guardian pada Rabu lalu.

Beliau berkata media barat tidak memeriksa  fakta atau mendapatkan pengesahan sama ada maklumat yang diterima itu benar atau sebaliknya.

“Saya sendiiri benar-benar mahu melihat bukti dakwaan itu tetapi beliau terus mengatakannya seolah-olah ia benar. Dr Mahathir ditemuramah oleh akhbar The Guardian baru-baru ini. Beliau menyebut perkara yang sama dalam temubual itu tetapi wartawan yang menemuramahnya tidak meminta beliau mengemukakan bukti,” katanya.

Byrnes yang melahirkan kebimbangan mengenai PRU14 kerana terdapat banyak propaganda tertanya-tanya sama ada Mahathir bercakap bohong atau beliau tidak tahu mengenainya.

“Yang lebih membimbangkan ialah apabila beliau telah dinamakan  sebagai calon perdana menteri,” kata beliau.

Mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan  (GST), Byrnes berkata sistem percukaian itu diperkenalkan untuk  mengurangkan impak kejatuhan harga minyak dan kebanyakan negara di dunia juga mengamalkan  cukai seperti itu.

Byrnes juga bersetuju bahawa terdapat sedikit penurunan dalam piawaian kewartawanan apabila ia membabitkan liputan antarabangsa. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.