PDRM Siasat Anggota Tidak Dibenar Undi Awal – KPN

TAWAU – Polis sedang menyiasat dakwaan seorang anggotanya dihalang daripada mengundi awal oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari pengundian awal Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kes itu juga akan dirujuk kepada pihak berwajib termasuk SPR.

“Langkah-langkah dan keterangan telah diambil dan kita (polis) nak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

“Siasatan sedang dijalankan oleh pegawai saya buat masa ini di Bukit Aman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pencegahan jenayah ‘Ke arah Tawau Sejahtera’, di sini hari ini.

Satu laporan polis tular menerusi media sosial sejak dua hari lalu mengenai seorang anggota polis dihalang membuang undi awal oleh petugas SPR.

Pengadu mendakwa tidak dibenarkan berbuat demikian kerana dimaklumkan oleh petugas SPR bahawa namanya didapati telah mengundi.

Pengadu kemudian menjelaskan kepada petugas SPR bahawa dia belum menunaikan tanggungjawab tersebut dengan menunjukkan tiada kesan dakwat di jarinya namun penjelasan itu tidak diterima. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.