Wanita Terjatuh Ke Dalam Perigi

KUALA KUBU BHARU: Seorang wanita dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam perigi di rumahnya di Kampung Timah SKC, Bukit Beruntung, di sini, malam tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang mengambil air dari perigi itu sebelum tergelincir.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.31 malam.

“Seramai 13 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati mangsa, Rajaswari Subraniam, 45, terjatuh ke dalam perigi sedalam lima meter itu.

“Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dari perigi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.