BN Akan Segerakan ECRL Di Selangor – Noh Omar

PELABUHAN KLANG: Proses pengambilalihan tanah bagi projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor akan diselesaikan dan disegerakan jika Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula negeri itu.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata Selangor satu-satunya negeri yang tidak meluluskan permohonan tanah untuk projek mega itu yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pengkalan Kubor di Kelantan.

“Jika kami (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), proses pengambilalihan tanah (oleh kerajaan negeri) akan diselesaikan dengan mudah. Jadi, kita perlu memastikan BN menang pada 9 Mei ini.

“Selain itu, saya akan memastikan jajaran ECRL ini tidak melalui penempatan di kawasan ini. Kami akan membincang dan berunding dengan pihak berkaitan untuk mencari laluan alternatif, supaya ia tidak memberi kesan kepada penduduk,” katanya selepas menghadiri Program Rakyat Sejahtera Selat Klang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, wakil Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan calon BN Selat Kelang, Dr Mohd Khairi Hussin serta penduduk di kawasan berkenaan.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, BN akan menangani pelbagai isu yang berlaku di negeri ini, termasuk masalah krisis air yang berlarutan sekiranya diberi mandat dalam PRU-14.

“Rakyat Selangor sudah menderita di bawah pentadbiran ketika ini. Mereka (PKR) gagal menyelesaikan banyak isu berkaitan rakyat. BN akan membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Terdahulu, pada pertemuan itu, penduduk di kawasan berkenaan mendengar taklimat mengenai projek ECRL yang membabitkan jajaran sejauh 80 kilometer dari Gombak ke Pelabuhan Klang dan berpeluang berkongsi pandangan serta kebimbangan mereka.

Kebanyakan penduduk menyokong projek berkenaan, namun mereka bimbang jika tanah dan kediaman masing-masing terkesan akibat ECRL.

Sementara itu, Khairi memberi jaminan BN akan mencari penyelesaian yang dipersetujui sama untuk memastikan projek itu tidak memberi kesan kepada penduduk Kampung Delek dan Kampung Sireh Tambahan 2.

“Setakat ini, kami sudah memberikan dua laluan alternatif yang memberikan kesan paling minimum terhadap peneroka terbabit,” katanya.

Seorang jurucakap MRL pula berkata, syarikat itu tidak diberikan tarikh untuk membincangkan projek ECRL dan pengambilalihan tanah dengan Menteri Besar Selangor, sehingga kini.

“Kami tidak mendapat kelulusan untuk meneruskan projek di Selangor. Justeru, kami tidak dapat memulakan kerja tanah, katanya, memaklumkan sebanyak empat daerah terbabit dengan projek itu di Selangor iaitu Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Klang.

Selain Selangor, negeri lain yang terbabit dengan projek berkenaan adalah Kelantan, Terengganu dan Pahang, yang sudah memberikan kebenaran untuk pengambilalihan tanah bagi projek berkenaan, seterusnya membolehkan projek pembinaan ECRL dimulakan.

Pada 2 Mei lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata, tindakan Kerajaan Selangor memberi kesan kepada perancangan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sistem pengangkutan yang lebih baik kepada rakyat.

Beliau dilaporkan berkata, walaupun permohonan sudah dibuat berkali-kali kepada Kerajaan Selangor untuk memulakan proses pengambilalihan tanah, pihak berkenaan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap permohonan itu.

Projek ECRL membabitkan jajaran sejauh 688km bakal mengubah landskap pengangkutan negara ini berikutan ia akan mengurangkan tempoh perjalanan antara timur dan barat Malaysia.

Ia bermula dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak dan berakhir di Wakaf Bharu, Kelantan, dengan 23 stesen perhentian di antaranya, mengambil masa empat jam berbanding lapan jam ketika ini atau 12 perjalanan dengan menggunakan jalan raya pada musim perayaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.