BUANG YANG KERUH, AMBIL YANG JERNIH

“Orang politik lagi?” Inilah reaksi kebanyakan orang apabila saya dilantik memegang jawatan Pengerusi FELDA.

Perkara ini tidak menghairankan berikutan terdapat skandal-skandal berprofil tinggi yang melibatkan pengurusan tertinggi FELDA yang telah didedahkan oleh Laporan Audit Negara.

Oleh itu pada saya kebimbangan mereka ini bersebab dan saya tidak tersinggung walaupun merupakan seorang ahli politik.

Adakah segalanya baik di FELDA? Sudah tentu tidak.

Isu-isu seperti tadbir urus yang lemah, skandal rasuah, hutang peneroka, sehinggalah ke projek perumahan generasi kedua yang bermasalah- ini semua menuntut penyelesaian segera.

Jika tidak, FELDA akan mengalami defisit keyakinan dari peneroka, warga FELDA serta orang ramai. Kepercayaan dari mereka akan terhakis sekiranya hal ini berlaku.

Justeru, perkara yang paling mustahak adalah membetulkan persepsi. FELDA perlu dilihat sebagai entiti yang berbeza berbanding FELDA Global Ventures (FGV) dan FELDA Investment Corporations (FIC). Kekeliruan ini amat serius sehinggakan seorang rakan saya di dunia korporat mengucapkan tahniah di atas lantikan saya sebagai Pengerusi FGV, bukannya FELDA!

Besar kemungkinan kekeliruan persepsi ini timbul berikutan pengurusan tertinggi bagi ketiga-tiga organisasi ini adalah di kalangan orang yang sama.

Oleh itu, apa sahaja yang berlaku di FIC akan mengheret sekali imej FELDA, FGV dan begitulah sebaliknya.

Pada masa yang sama, perkara ini juga tidak bagus dari sudut tadbir urus. Bayangkan sekumpulan individu yang sama perlu membuat keputusan yang melibatkan ketiga-tiga entiti ini. Tidakkah ini menjadi punca mengapa berlakunya beberapa keputusan pelaburan yang menjadi pertikaian ramai sekarang?

Amat jelas perubahan perlu dilakukan dan ianya perlu bermula dari atas. Untuk itu, kesemua ahli lembaga pengarah FELDA Investment Corporation (FIC) diarahkan untuk meletak jawatan. Muka baru yang dilantik bagi menggantikan pula terdiri di kalangan professional seperti akauntan, jurutera, peguam dan pegawai tadbir kerajaan. Tiada ahli politik di situ termasuklah saya. Ini menjamin ‘Zero percent’ campur tangan politik.

FGV turut mendapat seorang pengerusi baru ekoran kontroversi yang berlaku pada tahun lepas. Jadi, buat pertama kalinya pengerusi FELDA, FGV dan FIC adalah individu yang berlainan. Tidakkah ini menjamin pengasingan kuasa sekaligus mengukuhkan tadbir urus?

Soal integriti amatlah penting dalam mana-mana organisasi. Tiada kejayaan boleh dicapai tanpa integriti. Justeru, FELDA menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama SPRM.

Namun, ikrar adalah ikrar. Petugas boleh sahaja berikrar tidak mengambil rasuah tetapi tetap akan ada segelintir kecil yang masih gemar mengambil kesempatan.

Bagaimanakah kita memerhati dan melaporkan kesalahan mereka? Jawapannya adalah dengan memperkenalkan Polisi dan Prosedur Pemberi Maklumat FELDA supaya tiada petugas yang takut untuk melaporkan salah laku petugas-petugas lain.

Jika itu masih tidak mencukupi, ketahuilah bahawa pegawai SPRM bakal ditempatkan di dalam FELDA untuk memastikan tiada penyelewengan dan rasuah berlaku.

Ini signal jelas bahawa kita tidak berkompromi dalam soal integriti walau sedikit pun di FELDA.

Sekiranya ada pihak yang beranggapan FELDA sudah ‘failed-dah’, sila pertimbangkan fakta berikut yang mencerminkan keyakinan dari pihak terbabit:

1) Seramai 105,294 daripada 112,635 peneroka bermuafakat bersama FELDA. Ia bersamaan dengan 93%.

2) Pada awal 2017, FELDA sukar mendapatkan pinjaman. Kini, sebuah bank memberi pinjaman sukuk sebanyak RM4 billion dengan rating AAA .

3) Demi memastikan rancangan FELDA terus dimajukan dan generasi muda mendapat peluang selari dengan ekonomi negara, agenda FELDA 2.0 dilancarkan.

Sebanyak 14 agensi kerajaan dan syarikat swasta bersetuju melabur sebanyak RM8.8 juta khusus bagi projek rintis FELDA 2.0 di FELDA Lurah Bilut

Amat jelas bahawa FELDA telah banyak berubah dan perubahan itu meningkatkan keyakinan ramai pihak.

Mereka yang masih menjaja cerita negatif FELDA sebenarnya masih terperangkap di tahun 2016 atau dengan sengaja melupakan apa yang berlaku pada 2017 di bawah kepimpinan baru.

Justeru, saya merayu kepada warga FELDA di rancangan mahupun di bandar untuk menilai dengan adil apa yang telah dilakukan selama setahun setengah ini dalam membuat keputusan besar pada 9hb Mei nanti.

Makan sirih bersama pinang,
Kunyah bersama kuntuman cengkih,
Khilaf yang lalu usah dikenang,
Buang yang keruh ambil yang jernih.

Terima kasih warga FELDA!

Tan Sri Shahrir Abdul Samad
Pengerusi FELDA

#IniRancanganKita
#MuafakatFELDA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.