‘Cik Piah Nama Cari Makan’

KUALA LUMPUR: Biarlah orang lain menggunakan nama glamor, Cik Piah tetap menjadi pilihan penyampai radio popular, Feeya Iskandar ketika bersiaran di konti.

Akui Feeya yang bertugas di Suria FM sejak Mac lalu, biarpun bertukar stesen radio, nama Cik Piah akan terus digunakannya.

“Biar di mana pun saya bertugas, nama Cik Piah akan kekal di hati… Ia bagai sudah sebati dengan dunia radio.

“Jadi saya akan terus gunakan nama itu apatah lagi pendengar sudah selesa dengan panggilan itu,” katanya kepada BH Online.

Sebelum beralih arah ke Suria FM, Feeya bertugas di Sinar FM selama lapan tahun.

Menceritakan pengalaman berada di konti Suria FM, Feeya mengaku ada peminat terkejut dengan penghijrahannya.

“Memang ada peminat pelik tiba-tiba saya muncul di Suria FM.

“Ada juga peminat yang menghantar komen menyatakan mereka tidak boleh lupa gandingan saya dengan Salih Yaacob di Sinar FM.

“Tidak kurang juga ada yang menganggap saya masih cuti bersalin anak kedua selepas lama tidak muncul di stesen radio itu,” katanya yang mengendalikan segmen Gaya Suria dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Menurut ibu kepada dua anak lelaki, Adam Malique dan Nuh Aryyan ini, dia sedang membiasakan diri bekerja di tempat baharu.

“Saya bertugas sebelah pagi dan pulang ke rumah pada waktu tengah hari. Jadi, ada masa untuk anak. Ketika bekerja, sepupu saya tolong menjaga mereka,” katanya yang belum terfikir mengambil pembantu rumah.

Feeya dan suami, Nurashid Abd Wahab berkahwin di Pasir Gudang, Johor pada Mei 2016. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.