Neelofa Gelak, Lucu Dikatakan Mangsa Fesyen

KUALA LUMPUR: Biarpun dikritik hebat netizen gara-gara menyarung persalinan bersaiz besar dilengkapi beg pinggang (pouch beg) pada sebuah acara, pelakon dan pengacara jelita, Noor Neelofa Mohd Noor, berkata dia menyukai busana yang digayakan itu.

Mengakui sudah lali dengan kritikan dan komen negatif netizen, Neelofa, 29, terharu apabila dia menjadi pilihan sebuah label terkemuka untuk menata gayanya ketika menghadiri sebuah acara fesyen, baru-baru ini.

“Terus terang saya katakan, saya suka persalinan itu. Pernahkah saya peduli dengan apa orang cakap? Kritikan mereka tidak sedikitpun menjejaskan saya. Ini bukan kali pertama saya dikutuk, malah sudah lali.

“Saya bangga memperagakan persalinan itu dan rasa lucu apabila ada yang bercakap, saya menjadi mangsa fesyen,” katanya.

Sentiasa mengikuti perkembangan dunia fesyen, Neelofa yang ditemui pada majlis Teduhan Kasih, Pertubuhan Rahoma Darul Fakir di sini, berkata fesyen yang digayakan itu sudah menjadi aliran untuk musim 2018 di Eropah.

Meskipun ada dalam kalangan keluarga dan kenalannya yang tidak menggemari fesyen yang digayakan, Neelofa berkata, dia tidak janggal menyarung persalinan itu.

“Tahun ini, aliran fesyen lebih tertumpu kepada konsep ‘cover up’. Kalau kita lihat, perkembangan fesyen di Eropah sudah ke arah itu. Jadi, apabila saya diberi peluang untuk menggayakan persalinan itu, semestinya saya suka.

“Orang tidak faham dan mereka hanya tahu mengkritik dan mengecam. Sebagai seorang yang sentiasa didedahkan dengan fesyen yang menutup ini, patut berasa bangga. Saya tidak salahkan mereka, cuma mungkin mereka kurang arif kerana fesyen itu sangat subjektif,” katanya.

Menyentuh mengenai tindakannya membuat Instagram Stories mengenai produk makanan tambahan yang dikritik hebat gara-gara mendakwa boleh diambil bayi untuk memutihkan kulit, Neelofa berkata, ia berlaku kerana salah faham.

Neelofa juga mengakui, kesilapan itu berpunca daripada tindakannya menyalin kenyataan dari laman sesawang yang salah.

“Saya membuatnya atas kerelaan diri dan bukan kerana termaktub dengan kontrak produk terbabit. Saya ke laman sesawang produk itu dan menyalin kenyataan yang terdapat di situ. Rupa-rupanya, itu bukan laman sesawang rasminya.

“Apabila jadi begini, orang ingat produk itu untuk memutihkan kulit, sebaliknya ia lebih kepada masalah ekzema. Tidak ada sebab saya melatah kerana dikecam dan dikritik. Lebih baik saya berdiam diri.

“Selepas lama berdiam, saya rasa ini masanya untuk tampil memberikan penjelasan dan memperbetulkan salah faham ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.