Nilai Islam Tetap Utuh Di Sebalik Pembangunan Bagan Datuk

BAGAN DATUK – Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO sentiasa meningkatkan dan memartabatkan syiar Islam dalam pelbagai aspek pembangunan di Bagan Datuk.

Bagan Datuk, yang merupakan daerah baharu ke-12 di Perak, semakin pesat membangun selepas ia diwakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak 1995.

Antara pembangunan yang dibawa Ahmad Zahid, 65, ke daerah ini adalah pembinaan Maahad Tahfiz Darul Ridzuan, sebuah pusat tahfiz berkonsepkan adunan menghafaz al-Quran dan akademik moden bagi melahirkan huffaz serta Kompleks Masjid Tuminah Hamidi yang boleh menampung 5,000 jemaah pada satu-satu masa.

Komitmen berterusan itu turut dizahirkan menerusi beberapa program kerohanian seperti Bagan Datuk Berzikir dan Zikir Ulama Antarabangsa Bagan Datuk selain membina dan menaik taraf masjid-masjid, surau, sekolah agama, serta menjaga kebajikan para imam, bilal, guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Tidak hairanlah usaha Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Pengerusi BN, mendapat perhatian dan pujian daripada ramai pihak termasuk ulama besar dari Jhang, Pakistan, Syeikh Zulfiqar Ahmad Naqsyabandi Mujaddiddin, yang merupakan tetamu khas pada majlis Zikir Ulama Antarabangsa Bagan Datuk di sini, malam tadi.

Penyelaras Biro Agama Parlimen Bagan Datuk Mohamad Zamhana Ismail berkata sejak merdeka sehingga kini, kerajaan BN tidak pernah mengabaikan elemen Islam dalam proses pentadbiran dan pembangunan negara.

“Pada masa sama, ia menggalakkan institusi kewangan memperkenalkan perbankan Islam selain penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menjadi lambang keseriusan kerajaan memartabatkan agama Islam sehingga ke peringkat global,” katanya kepada Bernama di sini.

Penduduk tempatan, Zakaria Jamaluddin dari Kampung Sungai Burung, berkata slogan Bagan Datuk ‘Mendukung Tradisi, Menjulang Transformasi’ adalah testimoni bagaimana daerah itu mengalami transformasi tanpa menghakis nilai keislaman.

Selain pembangunan fizikal, katanya, Ahmad Zahid dilihat memberi perhatian sama berat terhadap penerapan nilai agama, kedaulatan, kesultanan dan adat resam yang saling melengkapi.

“Ahmad Zahid seorang yang berwawasan dan tidak putus-putus membawa perubahan di Bagan Datuk. Oleh itu saya percaya dengan kekuatan inilah yang akan membolehkan beliau terus diangkat sebagai wakil rakyat di parlimen ini,” katanya.

Ahmad Zahid, anak jati Sungai Nipah Darat, Rungkup, akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk buat penggal keenam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan menentang calon PKR, Pakhrurrazi Arshad dan Ata Abdul Muneim Hasan Adli dari PAS.

Pada PRU13, Ahmad Zahid, yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, menewaskan calon PKR, Madhi Hasan, dengan majoriti 2,108 undi.

Sehingga kini, sebanyak 62 projek pembangunan melibatkan RM1.34 bilion dilaksanakan di Bagan Datuk termasuk pembinaan jambatan yang menghubungkan Bagan Datuk dengan Kampung Sejagop, Perak Tengah bernilai RM466.9 juta, Jeti Pelancongan Water Front, Kolej Politeknik, kompleks sukan dan sebagainya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.