Parthiban Mahu Selesaikan Masalah Rakyat

KUALA SELANGOR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, K Parthiban, mahu menyelesaikan isu rakyat yang ‘diabaikan’ wakil rakyat pakatan pembangkang jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini.

Masalah utama itu antaranya banjir kilat dan kerosakan jalan yang teruk, selain memperbaiki rumah usang golongan kurang berkemampuan.

Beliau yang dikenali mesra sebagai Cikgu Parthiban berkata, rakyat DUN itu sudah muak dengan pakatan pembangkang yang seolah-olah tidak menyelesaikan masalah dan tidak membangunkan kawasan berkenaan selepas dua penggal diberikan mandat.

“Sebagai contoh, masalah banjir kilat kerap berlaku di beberapa kawasan akibat masalah perparitan masih berlarutan, selain struktur jalan raya utama turut rosak teruk.

“Ia sepatutnya diselesaikan dengan mendalamkan lagi sistem perparitan dan menyelenggara jalan berkaitan, bukan lepas menang, diam saja,” katanya.

Beliau berkata, jika diberi mandat, beliau akan menyelesaikan semua isu dibangkitkan rakyat dengan turut melaksanakan 10 manifesto utama bagi PRU-14.

“CALON BN Selangor N11 K Parthiban. – Foto Roslin Mat Tahir

Manifesto itu antaranya cadangan membina Kolej Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan rumah mampu milik atau rumah kesejahteraan rakyat.

“Ia juga termasuk menaik taraf Jalan Ijok ke pekan Bestari Jaya dan menubuhkan pusat kegiatan belia, selain pusat dialisis percuma,” katanya yang turut mahu menjadikan DUN Ijok antara zon perindustrian utama di Selangor.

Parthiban berkata, beliau yakin dapat memenangi kerusi itu selepas dua kali tewas sebelum ini berdasarkan sokongan dan maklum balas pengundi yang semakin meningkat kepada BN.

“Saya bersama jentera parti merangka pelbagai program mendekati rakyat termasuk belia, selain memfokuskan bantuan kebajikan, pendidikan dan perubatan,” katanya.

Kerusi DUN Ijok turut menjadi tumpuan kerana membabitkan pertembungan empat penjuru dengan kekal ditandingi penyandang kerusi itu, Dr Idris Ahmad daripada PKR.

Dua calon lain adalah Jefri Mejan (PAS) dan calon muda berusia 26 tahun dari Parti Rakyat Malaysia (PRM), T Kumaran.

Pada PRU-13, DUN yang kini mempunyai 23,073 pengundi itu dimenangi Dr Idris yang menewaskan Partiban dengan majoriti 739 undi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.