Penerangan Khusus Mengenai GST

Rakyat perlu tahu dan faham bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ialah sistem cukai yang menggantikan Cukai Jualan 10 peratus dan Cukai Perkhidmatan 6 peratus dan ia bukanlah satu cukai tambahan.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam satu kenyatan semalam, bertarikh 7 Mei 2018 berkata sepanjang kempen sempena PRU14, pelbagai isu telah dibangkitkan dan yang paling kerap dibahaskan ialah GST. Beliau dalam kenyataan itu hendak menjelaskan lima perkara berkenaan sistem cukai berkenaan.

“Kadar 6% yang dikenakan adalah yang terendah di ASEAN dan antara yang terendah di dunia. 160 negara telah melaksanakan GST atau Value Added Tax (VAT).

“Sebagai contoh, kadar di Singapura 7%, Thailand 7%, Indonesia 10%, Vietnam 10%, Filipina 12%. Di Australia 10% dan di UK jauh lebih tinggi iaitu 20%,” kata Abdul Wahid. Di negara tertentu GST dikenali sebagai VAT.

Beliau berkata, atas sikap keprihatinan kerajaan ekoran kenaikan harga barangan, kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah merangka senarai barangan asas yang akan dikenakan kadar sifar GST atau tidak dikenakan cukai itu.

“Ini termasuk barangan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, ayam, daging, ikan & sebagainya, ubat-ubatan, buku-buku dan minyak petrol RON95 & Diesel.

“Semasa pelaksanaan GST diumumkan dalam Bajet 2014 pada 25 Oktober 2013, Kerajaan juga telah mengumumkan langkah ‘pengimbangan’ atau offset measures seperti pengurangan cukai pendapatan individu antara 1-3%, pengurangan cukai pendapatan korporat dari 25% kepada 24% dan pengurangan cukai perusahaan kecil & sederhana dari 20% kepada 19%.

“Pemberian BR1M isirumah berpendapatan RM3,000 kebawah sebulan juga ditingkatkan dari RM500 ke RM650 manakala isirumah berpendapatan RM3,000-4,000 sebulan mula diberikan BR1M RM450 buat pertama kali.

“Seterusnya dalam Bajet 2015, jumlah BR1M telah dinaikkan masing-masing kepada kepada RM950 & RM750 . Untuk individu bujang berpendapatan RM2,000 kebawah pula, BR1M dinaikkan kepada RM350. Ini semua bertujuan untuk meringankan impak kenaikan harga barang,” kata Abdul Wahid.

Menurut beliau, tujuan asal pelaksanaan cukai GST ialah untuk memperluaskan asas percukaian negara memandangkan Malaysia hanya ada 2 juta orang pembayar cukai pendapatan, satu jumlah yang kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia seramai 30 juta.

Katanya, GST adalah cukai penggunaan atau indirect tax yang mana mereka yang berbelanja lebih adalah dari kalangan mereka yang berpendapatan lebih.

“Ini juga selaras dengan langkah konsolidasi fiskal yang mensasarkan bajet seimbang dalam jangkamasa pertengahan. Dengan peningkatan pendapatan Kerajaan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal kita malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh sebelum ini seperti pembinaan lebuhraya, jalanraya, jambatan, sekolah, hospital, klinik desa, dll.

“Ini termasuklah pembinaan lebuhraya Pan Borneo yang sedang rancak pembinaannya dan dijangka siap pada tahun 2022,” ujarnya menjelaskan #KeManaDuitGST dibelanjakan.

Abdul Wahid berkata cadangan atau desakan untuk menghapuskan GST hanya akan menyebabkan negara mengambil satu langkah yang ke belakang dan ia boleh membahayakan ekonomi.

“Ini kerana kutipan GST pada tahun 2017 adalah sebanyak RM42 bilion dan dijangka meningkat kepada RM44 billion tahun ini berbanding kutipan SST RM17 billion pada tahun 2014.

“Sekiranya GST dimansuhkan, terdapat kekurangan pendapatan sebanyak RM27 bilion (2% daripada KDNK),” tegasnya.

“Sekiranya Ini berlaku, Kerajaan ada 3 pilihan. Pertama – Menaikkan cukai pendapatan atau memperkenalkan cukai baru seperti cukai keuntungan modal (Capital Gains Tax).

“Kedua – Mengurangkan perbelanjaan termasuk perbelanjaan pembangunan. Ini bermakna membatalkan atau menangguhkan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan sebelum ini.

“Ketiga – Meningkatkan defisit fiskal kepada 5%. Kesemua opsyen tersebut amat berbahaya kerana boleh menjejaskan pasaran modal dan mengakibatkan penarafan kredit hutang antarabangsa negara kita diturunkan daripada paras A3/A- kepada BBB. Ini sudah tentu akan meningkatkan kos pinjaman dan memudaratkan ekonomi negara,” katanya menjelaskan.

Menurut beliau dalam kenyataan itu, GST diharapkan akan dikekalkan. Perhatian boleh diberikan kepada memperbaiki lagi pelaksanaan program dan projek yang dapat memberikan lebih peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat utuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Ini selaras dengan matlamat model baru ekonomi yang mensasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang inklusif dan mampan,” katanya. – PRU14.TV

#BersamaBN
# HebatkanNegaraku
#PRU14
#KitaPilihBiru

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.