Projek PGBF Kemenangan Jangka Panjang Peneroka FELDA

Di saat isu perumahan menjadi topik perbualan penting, generasi muda FELDA tidak seharusnya terpinggir daripada peluang memiliki kediaman sendiri.

Lihat sahaja di setiap negeri, baik yang diperintah kerajaan pusat mahupun kerajaan pembangkang, masing-masing berlumba untuk menyediakan fasiliti perumahan terbaik.

Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Pertamaku, Rumawip, Rumah Mesra Rakyat, Rumah Pr1ma, Rumah Selangorku dan Perumahan Mampu Milik adalah antara skim perumahan inisiatif daripada  kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Projek Pgbf Kemenangan Jangka Panjang Peneroka Felda Hartabumi 01
Kredit: tv14

Justeru, langkah memperkenalan Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF)adalah selari dengan aspirasi kerajaan menyediakan fasiliti perumahan demi kepentingan rakyat.

Tambah menarik, projek ini dibuka khusus kepada warga FELDA sahaja. Tidak seperti projek-projek lain yang membenarkan permohonan rumah secara terbuka.

Bahkan kelayakan pemohon juga disesuaikan dengan situasi semasa masyarakat FELDA.

Mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, FELDA telah membina kerjasama erat dengan rangkaian agensi kerajaan untuk memastikan kejayaan projek.

PGBF adalah satu daripada projek sosial FELDA bagi memenuhi permintaan dan membantu generasi baharu FELDA memiliki rumah mampu milik yang selesa dan sempurna.

Ia juga diharap dapat memanfaatkan tanah-tanah kosong milik FELDA di tanah rancangan dengan cara yang teratur untuk kebaikan jangka panjang warga FELDA.

Harga rumah yang ditawarkan adalah RM 90,000 bagi rumah bersaiz 1,000 kaki persegi.

Projek Pgbf Kemenangan Jangka Panjang Peneroka Felda Hartabumi 02
Kredit: New Straits Times

Generasi muda FELDA berumur 18 tahun dan ke atas yang telah berkahwin layak untuk memohon rumah PGBF. Setiap keluarga peneroka layak untuk memohon satu unit rumah.

Pemohon PGBF juga perlu memenuhi syarat bermastautin yang dikenakan iaitu tinggal dalam tanah rancangan atau sedang menyewa berhampiran tanah rancangan.

Aspek lain yang turut diambil kira adalah pendapatan bulanan tidak melebihi RM 3,500, tiada rekod jenayah serta tidak muflis/bankrap.

Perbincangan masih dijalankan dengan pihak bank bagi menyediakan pakej pinjaman perumahan yang sesuai kepada pemohon yang berjaya.

Sementara menunggu perkara ini diselesaikan, pembeli bebas untuk mendapatkan pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

Bagi yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata pendapatan bulanan turut boleh memohon melalui kemudahan ‘sewa-jual’.

Projek Pgbf Kemenangan Jangka Panjang Peneroka Felda Hartabumi 04

Kemudahan ini membolehkan anak FELDA yang layak untuk ditawarkan pemilikan rumah melalui sewaan selama 60 bulan (5 tahun) dan pada tahun terakhir sewaan barulah surat tawaran membeli rumah diserahkan kepada pemohon.

Melalui cara ini, pemohon mendapat ‘untung’ melalui dua cara. Pertama, mereka dapat menduduki rumah baharu dengan lebih awal.

Kedua, bakal pembeli dapat menggunakan tempoh lima tahun sepanjang tempoh penyewaan untuk memperbaiki penyata pendapatan bagi memohon pembiayaan perumahan.

Projek Pgbf Kemenangan Jangka Panjang Peneroka Felda Hartabumi 06

Kos sewaan juga ditetapkan pada kadar yang amat berpatutan. Rumah hujung (corner lot) disewakan dengan kadar RM 500 sebulan, rumah tepi (end lot) pada kadar RM 400 sebulan dan rumah tengah (intermediate) disewakan dengan harga RM 300 sahaja sebulan.

Seterusnya, mari kita masuk ke isu yang menghambat PGBF iaitu lewat disiapkan daripada waktu yang disasarkan.

Mengikut rancangan asal, pembangunan PGBF dibahagikan kepada dua fasa pembinaan. Fasa pertama melibatkan pembinaan 8,454 unit rumah dan fasa kedua sebanyak 11,546 unit rumah.

Walau bagaimanapun, sebagai penambahbaikan, Fasa 2 yang berjumlah 11,546 unit akan dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melalui program Rumah Mesra Rakyat (RMR) FELDA – SPNB.  Di dalam Bajet 2018, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM 164 juta kepada SPNB untuk membina 5,000 unit RMR FELDA-SPNB.

Dalam perancangan awal, PGBF dijangka dapat disiapkan secara berperingkat bermula tahun 2017 tetapi berlaku kelewatan dalam penyerahan kunci kepada pemilik rumah disebabkan isu-isu teknikal seperti pematuhan syarat dan juga pertikaian dengan pihak-pihak berkenaan.

Pada 2017 telah disiapkan sebanyak 106 unit rumah dimana sebanyak 26 unit rumah telah diserahkan kepada pemilik di Tanah Rancangan FELDA Padang Piol di Jerantut, Pahang dan 80 unit rumah lagi telah berjaya diserahkan kepada pemilik di FELDA Sungai Tiang di Pendang, Kedah.

Dari Januari hingga Mei 2018, sebanyak 1,128 unit rumah telah berjaya disiapkan di FELDA Selancar 4/5, Selendang 2, Keratong 4 dan Sg. Koyan. Pembeli telah mendapat kunci rumah dan kebenaran menduduki rumah tersebut.

Bagi 1,799 unit rumah pula ianya berjaya disiapkan sebanyak 50% dan 1,066 unit rumah pula masih dan sedang dalam pembinaan dan berjaya disiapkan sebanyak 40%.

Bagi projek sakit pula, sebanyak 1,734 unit rumah terbengkalai disebabkan terdapat pertikaian di antara pihak-pihak terbabit. Projek ini akan diteruskan selepas penilaian semula dibuat dan penyelesaian bersama diperolehi dengan pihak-pihak berkenaan.

Projek Pgbf Kemenangan Jangka Panjang Peneroka Felda Hartabumi 03

Bab harga sudah, bab lokasi sudah, bab syarat memohon pun sudah. Jadi tinggal satu sahaja soalan yang belum dijawab iaitu bagaimana pemilihan pemohon dipastikan berjalan dengan telus dan tanpa pilih kasih?

Dengan jumlah komuniti yang besar pastinya ramai yang tidak sabar-sabar mahu tinggal di dalam rumah baharu yang lebih selesa, bukan?

Di sinilah peranan ahli penilai yang datang daripada pelbagai latar belakang memainkan peranan sebagai panel. Panel penilai memainkan peranan di setiap peringkat jawatankuasa iaitu di peringkat rancangan, wilayah hinggalah ibu pejabat.

Pendek kata, daripada Pegawai Penyelia Rancangan hinggalah Pengarah Besar FELDA semuanya akan memainkan peranan dalam panel peniliaan bagi memastikan hanya pemohon yang benar-benar layak diberikan peluang memliki rumah PGBF.

 

Projek Pgbf Kemenangan Jangka Panjang Peneroka Felda Hartabumi 07
Kredit: The Malaysian Insight

Selain itu, pihak luar pengurusan FELDA seperti Ahli Dewan Undangan Negeri tempatan dan Pengerusi Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) turut dilibatkan sebagai panel penilai untuk memastikan ketelusan dalam pemilihan.

Akhir kata, PGBF diilhamkan untuk memenuhi keperluan generasi muda FELDA yang merupakan sebahagian daripada keluarga besar FELDA yang perlu dijaga kepentingannya.

Walaupun projek ini menghadapi sedikit kesulitan di peringkat awal, kini ia berjalan lancar melalui kerjasama pintar yang baharu dibina antara FELDA dengan pihak ketiga seperti kerajaan tempatan dan GLC.

Apa yang penting, generasi baharu FELDA akan mendapat manfaat daripada projek ini dan inilah satu bentuk kemenangan jangka panjang bagi projek pembangunan komuniti satu-satunya sepertinya di dunia, FELDA! – HARTABUMI.COM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.